Niat tak menghalalkan cara, pelajar tahfiz didakwa pukul lelaki sakit mental sehingga maut di Kota Bharu


  • Tular
  • Isnin, 30 Jan 2023

Sekumpulan pelajar tahfiz dipercayai memukul seorang lelaki sehingga maut di Masjid Tok Guru Pulau Melaka pada Ahad.

SEKUMPULAN pelajar tahfiz didakwa memukul seorang lelaki yang mempunyai masalah mental sehingga maut di Masjid Tok Guru Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada Ahad.

Lelaki yang dipercayai berusia 20-an itu didakwa mengamuk di masjid berkenaan sebelum menyerang seorang wanita yang secara kebetulan melalui perkarangan masjid itu.

Mangsa dipercayai sempat menunaikan solat Asar sebelum keluar dan secara tiba-tiba menendang serta menyepak seorang wanita yang juga tukang masak sebuah sekolah tahfiz berdekatan.

Selepas dipukul wanita tersebut meminta pertolongan dan berlari ke arah masjid yang mana berlakunya tragedi pembunuhan itu.

Wanita itu kemudiannya dibantu oleh beberapa pelajar tahfiz yang menyedari kejadian tersebut dan terus memberikan bantuan.

Namun daripada niat untuk membantu bertukar insiden pembunuhan apabila pelajar-pelajar tahfiz terbabit disyaki memukul mangsa sehingga maut.

Salah seorang pengguna media sosial menyatakan niat pelajar tahfiz berkenaan hanya ingin selamatkan wanita terbabit daripada terus dipukul oleh mangsa.

"Mereka (pelajar tahfiz) hanya berniat nak selamatkan mak cik itu dari bahaya dipukul lelaki kurang siuman tetapi mereka terpukul lelaki kurang siuman sampai meninggal, hanya Allah sahaja tahu niat mereka," kata Oh Melayu.

Menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen, rata-rata orang ramai melontarkan pendapat mereka berhubung kejadian terbabit.

"Takkan pukul sampai mati? pukul sekadar menghalang dari serang mak cik itu dah lah, lepas itu telefon polis," kata Erman Shah.

"Mungkin kalau mereka tak sempat halang mangsa mungkin mak cik itu yang kena teruk,tapi manusia, kadang-kadang terikut dengan emosi, semoga cepat bertaubat semua orang buat kesilapan," jelas Awang Gempita.

Manakala salah seorang pengguna media sosial menyatakan selepas wanita itu berlari dan diselamatkan, mangsa kemudiannya masuk semula ke dalam masjid sebelum dipercayai dipukul beramai-ramai.

"Mak cik itu dah selamat, selepas pukul mak cik, mangsa lari semula ke masjid, nak selamatkan makcik apa, nak tunjuk kuat?

"Ini dah jatuh kes bunuh, bukan tak sengaja, mangsa pun ada keluarga, mungkin stress jadi masalah mental," soal Sheikh Hussain.

Setakat ini, polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram