'Trust the process', Terengganu janji beri masa buat rekrut baharu


  • Podium
  • Isnin, 30 Jan 2023

Kemampuan Terengganu FC untuk musim akan datang masih dipersoalkan. — Facebook/Terengganu FC

AKSI persahabatan antara kelab Liga Super, Terengganu FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC pada Ahad menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Perlawanan yang diadakan di Stadium Cheras, Kuala Lumpur itu disaksikan ribuan penonton bagi melihat secara langsung tahap kesediaan mereka untuk musim depan.

Melihat kepada perkongsian di laman media sosial, majoriti daripada penyokong berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan meskipun ia hanya satu pertembungan pra-musim.

Namun, terdapat juga beberapa perasaan yang kurang menyenangkan dikongsikan sebahagian daripada peminat setia pasukan, lebih-lebih lagi dalam kalangan skuad Sang Penyu.

Menurut mereka, kegagalan untuk mempamerkan persembahan terbaik dalam siri perlawanan persahabatan sedikit sebanyak menunjukkan kelab itu bukanlah pencabar untuk kejuaraan musim ini.

Dalam tiga aksi sebelum ini, Terengganu FC hanya mencatatkan satu kemenangan, iaitu ketika mereka berdepan Kelantan United FC di laman sendiri yang berakhir dengan skor 2-1.

Selain daripada itu, mereka hanya memperolehi dua keputusan seri ketika aksi ulangan dengan skuad Kijang Hijau sebelum terikat bersama KL City FC.

Berdasarkan perkongsian itu, penyokong dilihat menunding jari ke arah susunan taktikal ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner yang kurang menarik.

327333647_3459722404248288_3257972125335069486_n

Tomislav bakal memikul tanggungjawab besar bersama Terengganu FC pada 2023. Facebook/Terengganu FC

Di samping berasakan tahap kecergasan pemain masih belum berada kedudukan terbaik, kegagalan melakukan hantaran mudah juga mendapat kritikan di media sosial.

"DNA Croatia-lah sangat, lebih baik gunakan jurulatih tempatan," kata Hakimi Faiz yang merupakan antara komen-komen sinis dilihat di ruangan media sosial.

Bagaimanapun, di sebalik pandangan negatif itu, sebahagian besar daripada penyokong naib juara Liga Super 2022 terbabit masih teguh dengan pengendali berusia 56 itu.

Hal ini kerana mereka berpendapat masih terlalu awal untuk menilai prestasi dan kemampuan Tomislav selain tidak mahu terikat dengan pencapaian pada 2022.

"Jurulatih masih dalam proses mengenali pemain untuk disatukan dan mengenal pasti siapa yang utama dan siapa yang simpanan. Kita berilah masa kepada yang bertanggungjawab bagi menjalankan tugas mereka," kata Abu Bakar.

"Janganlah komen sebegitu, perlawanan ini hanya untuk semai keserasian dengan pemain baharu. Satu lagi perkara perlu diingatkan bahawa KL City FC bukanlah pasukan yang biasa-biasa," kata Nizam Vai.

"Sabar-sabar, aksi persahabatan hanya untuk uji kesefahaman, taktikal dan keserasian pemain, jadi memang banyaklah eksprimen yang dibuat," kata Faizal Azrin.

Terengganu FC difahamkan akan mengadakan sesi latihan pra-musim di Thailand sebelum berdepan beberapa kelab luar negara, termasuk Chonburi FC.

Ia dilihat sebagai satu persiapan untuk Liga Super 2023 dan saingan Piala AFC yang menjadi satu ujian besar buat pasukan Pantai Timur yang berwajah baharu itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram