TIDAK boleh dinafikan bahawa jendela perpindahan kerap menyajikan kejutan buat penyokong bola sepak yang mengharapkan keputusan pihak pengurusan mampu membawa pasukan masing-masing ke lebih maju ke hadapan.
Liga Malaysia tidak terkecuali dengan perkara itu apabila pada musim ini sahaja, terdapat beberapa perpindahan yang sepertinya sukar untuk dipercayai penggemar sukan itu.
Antara kelab yang kerap melakukan kejutan ialah Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan mereka masih tidak henti-henti membawa masuk wajah-wajah baharu.
Hal itu dilihat sebagai satu perancangan yang dilakukan pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar bagi membolehkan kelab Utara tanah air tersebut kembali menyinar.
Rombakan terhadap skuad Sang Kenari sudah dapat disaksikan sejak awal pembukaan jendela perpindahan lagi, yang mana mereka mengambil keputusan untuk tidak mengekalkan khidmat hampir keseluruhan pemain import.
Penyerang kelahiran Cameroon, Ronald Ngah Wanja merupakan antara 'mangsa' atas perkara itu meskipun dia bergelar penjaring terbanyak pasukan dalam kesemua pertandingan.
Dalam saingan Liga Super sahaja, pemain yang juga dikenali sebagai 'Pak Ngah' itu berjaya menjaringkan 13 gol dalam 21 penampilan, termasuk jaringan hatrik ketika berdepan Petaling Jaya (PJ) City FC.
Namun, perubahan secara besar-besaran yang dilakukan skuad Sang Kenari menyaksikannya tidak berada dalam perancangan barisan kejurulatihan musim ini.
Lebih menarik lagi, Wanja yang baru sahaja berusia 31 tahun tidak berjaya untuk menambat hati mana-mana pasukan Liga Malaysia dengan laporan menyebut dia masih berstatus free agent ketika ini.
Jadi, dengan jendela perpindahan hanya akan ditutup pada penghujung Februari, peluangnya untuk meneruskan karier dalam arena bola sepak tanah air masih cerah.
Berdasarkan situasi ketika ini, terdapat tiga pasukan yang sesuai untuk menyambar khidmatnya bagi memperkukuhkan lagi jentera serangan masing-masing.
1. Terengganu FC
Penyerang kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn merupakan antara rekrut baharu Terengganu FC selepas reputasinya sebagai salah seorang penyudah terbaik di Asia Tenggara melonjak ketika kempen Piala AFF 2018.
Selepas kontraknya tidak disambung Muangthong United, dia buat pertama kali memilih untuk meneruskan kariernya di luar negara setelah bertahun-tahun berkelana di negara itu.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila kehadirannya ke Pantai Timur cukup menggembirakan penyokong Sang Penyu, apatah lagi mereka baru sahaja kehilangan khidmat penyerang import, Tchetche Kipre.
Bagaimanapun, usianya yang semakin lanjut pasti akan menjejaskan tahap kecergasannya, sekali gus memaksa pihak kejurulatihan untuk tidak menurunkannya dalam kesemua perlawanan.
Adisak memiliki reputasi sebagai antara penyerang terbaik di rantau Asia Tenggara. — Facebook/Terengganu FC
Jadi, Terengganu FC dilihat perlu mendapatkan khidmat seorang lagi penyerang bagi mengurangkan beban yang ditanggung pemain berusia 31 tahun itu.
Meskipun mereka memiliki Ivan Mamut dan Jordan Mintah yang boleh diturunkan dalam posisi itu, statistik menunjukkan mereka bukanlah penyerang prolifik.
Kerisauan itu boleh diselesaikan sekiranya mereka berjaya mendapatkan khidmat Ngah Wanja yang pastinya tertarik untuk menyertai skuad Sang Penyu apabila mereka bakal beraksi di pentas Asia musim depan.
Malah, khabar angin di media sosial turut menyebut perkara itu dengan beberapa foto mula tersebar menunjukkan dia menyarung jersi kelab itu semasa melakukan latihan berseorangan.
Oleh itu, sekiranya Terengganu FC berhasrat untuk memastikan ketajaman jentera serangan, Pak Ngah dilihat sebagai alternatif yang sesuai.
2. Negeri Sembilan FC
Sepanjang jendela perpindahan tahun ini, persoalan kerap diajukan kepada pihak pengurusan Negeri Sembilan FC yang belum mengumumkan kehadiran import baharu.
Walaupun dilihat aktif, kebanyakan pemain yang dibawa masuk merupakan pemain tempatan yang berusia atau kurang memberi sumbangan buat pasukan masing-masing pada 2022.
Lebih menarik lagi, skuad Jang yang tampil bergaya pada musim lepas juga difahamkan bakal kehilangan khidmat duo penyerang kelahiran Brazil, Gustavo dan Matheus Alves.
Perkara itu pasti akan menjejaskan pencapaian yang berjaya diraih dengan hanya penyerang kelahiran Sabah, Shahrel Fikri merupakan satu-satunya pemain yang boleh menggalas tanggungjawab di posisi itu.
Masa depan Gustavo bersama Negeri Sembilan FC menimbulkan tanda tanya. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Bagi memastikan ancaman mereka di hadapan pintu gol tidak terjejas, mereka boleh mengambil keputusan untuk menandatangani Ngah Wanja.
Selain tidak perlu membayar pampasan kepada mana-mana pihak, usianya yang sudah melepasi 30-an pasti akan mengurangkan permintaan gajinya.
Hal itu pasti membolehkan skuad Jang membawa masuk beberapa pemain lain, sekali gus menghidupkan peluang mereka untuk layak ke pentas Asia pada 2024.
Bagaimanapun, baru-baru ini, ketua jurulatih, K Devan difahamkan berkata, beberapa import akan diperkenalkan sebelum tirai Liga Super dibuka.
Pendedahan tersebut seolah-olah menimbulkan beberapa keraguan mengenai pemain yang bakal menerajui pasukan, sekali gus menutup pintu kepada kepulangan Ngah Wanja dalam arena bola sepak tanah air.
3. Perak FC
Meskipun menamatkan saingan Liga Perdana di tangga kedua tercorot, Perak FC masih berjaya layak secara automatik berikutan perubahan struktur daripada pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Oleh itu, bagi mempersiapkan skuad, pihak pengurusan dilihat mula melakukan pelaburan besar-besaran dengan beberapa pemain muda dibawa masuk.
Tidak cukup dengan itu, skuad The Bos Gaurus (TBG) juga diperkuatkan dengan kehadiran penyerang kelahiran Nigeria, Christian Obiozor yang menyerlah ketika berkelana di Asia.
Pasukan yang berada di bawah kendalian Lim Teong Kim itu juga dilihat mempunyai kelebihan untuk memberi kejutan, lebih-lebih lagi dengan reputasi mereka sebagai pasukan kerdil Liga Super.
Obiozor merupakan rekrut import baharu Perak FC untuk musim 2023. — Facebook/Perak Football Club
Bagaimanapun, sekiranya mereka berhasrat untuk berada di tahap yang berbeza, jendela perpindahan kali ini perlu digunakan sebaik mungkin dengan membawa masuk lebih pemain.
Antara nama yang sesuai untuk disambar ialah Ngah Wanja selepas dia berjaya mengumpul pengalaman beraksi di liga tempatan ketika bersama KDA FC tahun lalu.
Selain mempunyai kelebihan dari segi fizikal, kemampuannya untuk menjaringkan gol daripada sudut yang sukar juga boleh memberi kelebihan buat skuad TBG.
Perkara itu dapat diperhatikan ketika skuad Sang Kenari berdepan juara liga, Johor Darul Takzim (JDT) yang mana dia melepaskan sepakan daripada luar kotak penalti.
Oleh itu, dengan Perak FC juga berpeluang untuk mendapatkan beberapa pemain import, Ngah Wanja dilihat sebagai calon sesuai melihat kepada struktur kewangan mereka.
Persoalannya, dengan usianya semakin lanjut, adakah pihak pengurusan akan mengambil langkah tersebut apabila mereka lebih berminat untuk menggunakan khidmat pemain muda. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram