PENYOKONG Terengganu FC (TFC) pastinya masih mengingati bekas bintang import dari Brazil, David Da Silva yang pernah menyarung jersi skuad Penyu pada musim 2021.
Penyerang yang kini bersama pasukan Persib Bandung itu nampaknya semakin cemerlang membantu kelab berkenaan dalam saingan Liga 1 Indonesia.
Da Silva kini mendahului carta penjaring terbanyak Liga 1 apabila berjaya menghasilkan 15 gol setakat ini, selain membantu mencipta tiga bantuan hantaran (assist).
Sehingga kini, pemain berusia 33 tahun itu tampil beraksi sebanyak 18 perlawanan bersama Persib Bandung dan berkat jaringannya, dia berjaya meletakkan pasukan berkenaan sebagai pendahulu semasa liga.
Da Silva meletakkan Persib Bandung sebagai pendahulu Liga 1 dengan mencatat 39 mata. — Agensi
Persembahannya yang cemerlang bersama kelab di Indonesia itu membuatkan segelintir penyokong Terengganu seolah-olah cemburu memandangkan ketika bersama TFC, Da Silva dilihat gagal menampilkan prestasi memberangsangkan.
Sewaktu bersama pasukan Pantai Timur itu, penyerang yang mendapat jolokan DDS dalam kalangan penyokong TFC itu hanya mencetak tujuh gol serta diturunkan dalam 15 perlawanan sahaja sepanjang musim 2021.
Disebabkan kegagalannya untuk mengemudi jentera serangan Terengganu, pihak pengurusan skuad Penyu akhirnya membuat keputusan untuk tidak menyambung kontrak Da Silva.
Cuma pada masa sama, segelintir penyokong berpendapat taktikal yang diberikan oleh bekas pengendali TFC, Nafuzi Zain tidak sesuai dengan cara permainan Da Silva.
Da Silva hanya sempat menabur bakti selama semusim di bumi Terengganu. — Instagram/DaSilva
"Silap Nafuzi sebab tidak pandai pakai dia (Da Silva) ini," kata penyokong TFC, Sejuh Weh.
"Rugi jual dia ini dulu, padahal dia main best," komen seorang lagi penyokong, Mohd Herwafi Ali.
"Kalau Nafuzi pakai dia ini, silap-silap lagi hebat dari Bergson," tambah penyokong, Sejuk Weh.
Oleh itu, ia dikatakan antara punca pemain kelahiran Brazil itu gagal untuk memberikan prestasi yang konsisten sepanjang menyarung jersi Terengganu.
Semasa awal musim 2021, pada awalnya Da Silva menjadi pilihan Nafuzi untuk diletakkan dalam kesebelasan utama, namun lama-kelamaan pemain itu digantikan dengan penyerang dari Ghana, Jordan Mintah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram