'Jadi pembodek, Umno makin cepat karam', ramai tabik pemimpin berani bersuara, nama Ismail Sabri dipetik


  • Politik
  • Ahad, 29 Jan 2023

Ismail Sabri secara terbuka menyatakan bantahan terhadap keputusan menggantung dan memecat beberapa pemimpin Umno.

ISU pemecatan dan penggantungan keahlian beberapa pemimpin Umno masih lagi menjadi bualan baik dalam kalangan penyokong mahupun pemerhati politik.

Namun, keputusan Umno itu nampaknya tidak mendapat persetujuan Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menganggap ia tidak mematuhi proses perundangan dan bertentangan dengan prinsip keadilan asasi seperti hak membela diri.

Suara bekas Perdana Menteri itu juga nampaknya mendapat perhatian warganet yang bersetuju dengan kelantangan pemimpin itu yang disifatkan cukup berani.

Seorang warganet, waiowann berkata, Ismail perlu terus bersuara kerana kepimpinan parti tidak boleh melakukan apa-apa kepadanya.

"Mereka tidak boleh lakukan apa-apa sebab Ismail masih ahli Parlimen dan bekas Perdana Menteri. Jangan tunduk kepada mereka yang buat parti keramat sesuka hati," katanya.

Turut bersetuju ialah mohdsabri_diaz yang berkata, sebagai orang kuat dalam Umno, Ismail tidak boleh tunduk sahaja kepada presiden tanpa penjelasan yang kukuh.

"Jadi pembodek hanya menyebabkan Umno makin cepat karam," katanya.

Seorang lagi warganet, Juki Mzzul berkata, Ismail diharap dapat menjadi lebih berani lagi sebagai pemimpin yang nampak ikhlas untuk melakukan sesuatu.

"Walaupun ada kuasa sebagai Perdana Menteri sebelum ini, Ismail boleh bertindak macam-macam pada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi walaupun dia mempunyai kuasa.

"Tetapi dia tidak bertindak sebegitu dan peluang kali ini perlu diambil kerana ramai yang bersama Ismail," katanya.

Seorang lagi warganet, Wan Khairi berkata, rakyat kini memandang dan tahu siapa pengkhianat sebenar.

"Tahniah Ismail kerana berani bersuara kerana rakyat perlukan pemimpin sebegini. Rakyat tak perlukan pemimpin yang tahu menjilat sahaja," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram