Navara pecut macam 'orang gila', 4 sekeluarga termasuk bayi setahun parah dirempuh di Kluang


  • Tular
  • Ahad, 29 Jan 2023

Pelanggaran tersebut mengakibatkan keadaan kereta Vios itu kelihatan teruk di bahagian depan dan belakang.

SEORANG pemandu kereta jenis Nissan Navara memecut laju melarikan diri selepas dipercayai melanggar beberapa kenderaan lain di Kluang, Johor pada Sabtu.

Pemandu Navara terbabit pada mulanya dilihat memandu laju sebelum bertindak memotong kenderaan di hadapannya sehingga melanggar bahagian belakang kereta tersebut.

Insiden terbabit berjaya dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan yang berada di lokasi kejadian.

Pelanggaran tersebut menyebabkan kereta mangsa jenis Toyota Vios itu hilang kawalan dan melanggar sebatang pokok di bahu jalan.

Menerusi rakaman video yang dikongsikan oleh salah seorang pengguna media sosial, keadaan kereta Vios itu kelihatan teruk di bahagian depan dan belakang.

Berdasarkan video berdurasi 25 saat itu difahamkan kejadian berlaku di Jalan Batu Pahat-Mersing, Kluang, Johor.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner Bahrin Mohd. Noh dalam satu kenyataan berkata, polis telah menerima maklumat kemalangan berkenaan dan melakukan siastan.

"Pihak polis mengesahkan menerima maklumat tentang kemalangan yang berlaku di Jalan Batu Pahat-Mersing, Kluang, Johor.

"Siasatan awal mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh seorang lelaki melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan Toyota Vios," katanya pada Ahad.

Tambahnya lagi suspek telah ditahan bagi membantu siasatan manakala pemandu dan penumpang yang mengalami kecederaan dihantar ke hospital berdekatan.

"Suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya," katanya.

“Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan rusuk dan kini dirawat di Hospital Kluang.

Manakala tiga penumpang dalam Vios, seorang wanita berusia 37 tahun, seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun.

“Wanita itu mengalami patah tulang rusuk dan patah tangan kanan.

"Gadis dan bayi mengalami kecederaan serius di kepala.

"Manakala mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom Kluang untuk mendapatkan rawatan," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram