Menyerlah dalam derbi Pantai-Timur, rekrut baharu TFC ibarat jelmaan bekas legenda Sang Penyu


  • Podium
  • Jumaat, 27 Jan 2023

Terengganu FC memberikan persembahan memuaskan dalam aksi persahabatan baru-baru ini. — Facebook/Terengganu FC

NAIB juara Liga Super 2022, Terengganu FC dilihat sudah semakin yakin dengan kemampuan skuad sedia ada selepas melakukan rombakan besar-besaran sejak pembukaan jendela perpindahan.

Pelantikan Tomislav Steinbruckner sebagai ketua jurulatih diikuti dengan kehadiran wajah-wajah baharu yang dibawa masuk berdasarkan prestasi bersama pasukan masing-masing.

Ketajaman penyerang kelahiran Thailand, Adisak Kraisorn dan kelincahan bekas pemain Melaka United, Sony Norde yang disambar khidmat mereka baru-baru ini pastinya diharapkan dapat membantu jentera serangan skuad Sang Penyu.

Di posisi pertahanan pula, pihak pengurusan melakukan pelaburan unik dengan memperkenalkan bek tengah pasukan kebangsaan Uzbekistan, Sardor Kulmatov kepada arena bola sepak tempatan.

Kehadiran rekrut-rekrut baharu itu pastinya diperlukan untuk memastikan Terengganu FC dapat meneruskan rentak dan pencapaian yang dicatatkan mereka tahun lalu.

323898340_583636526913293_2142262326556971464_n

Mampukan Tomislav meneruskan rentak cemerlang Terengganu FC? Facebook/Terengganu FC

Jadi, dalam usaha pihak kejurulatihan untuk menilai keupayaan skuad ketika ini, beberapa aksi persahabatan sudah dijadualkan bersama pasukan tempatan dan di rantau Asia Tenggara.

Antara perlawanan yang sudah diadakan ialah pertembungan bersama Kelantan United FC, yang mana anak-anak buah Tomislav beraksi dengan persembahan memuaskan.

Aksi yang diadakan sebanyak dua kali itu menyaksikan skuad Sang Penyu mencatatkan kemenangan 2-1 di Stadium Sultan Muhammad IV sebelum kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam pertembungan pada Sabtu lepas.

Walaupun gagal memperolehi keputusan memberangsangkan, penyokong masih berpuas hati dengan usaha yang dipamerkan, apatah lagi dengan ia merupakan ujian pertama buat pemain dan barisan kejurulatihan.

Namun, perkara yang berjaya mencuri perhatian dalam perlawanan persahabatan itu ialah sentuhan seorang lagi import, Domagoj Pusic yang diturunkan sebagai pemain tengah.

Selepas dibawa masuk dari kelab Croatia, NK BSK Bijelo Brdo, pemain tinggi lampai itu menimbulkan kesangsian berdasarkan statistik dan usianya yang semakin lanjut.

326919804_3414080662209461_7904278145009373537_n

Pusic dijangka bakal memainkan peranan penting bersama skuad Sang Penyu.Facebook/Terengganu FC

Tetapi, melihat kepada pertemuan bersama skuad Kijang Hijau, Pusic berjaya menambat hati penyokong Sang Penyu sehingga ada yang mula membandingkannya bersama bekas pemain, Gustavo Lopez.

Corak permainannya yang tidak mengenali erti penat lelah itu disedari peminat tegar pasukan Pantai Timur itu yang menyatakan perkara itu menerusi laman Facebook Terengganu 11.

"Jiran-jiran yang menyaksikan perlawanan pra-musim tahun ini menyatakan gaya dan corak permainan Domagoj Pusic seakan-akan menyerupai bekas pemain import Terengganu iaitu Gustavo Lopez, pandangan anda?" katanya.

Hantaran itu berjaya mendapatkan perhatian lebih ramai penyokong yang tidak henti-henti membanjiri ruangan komen dengan berkongsi pandangan positif berkenaan.

"Betul min. Pada saya, ada ternampak gaya Gustavo sikit-sikit. Cukup tenang dan hantarannya juga perlu diberi pujian," kata Penyu Nelang.

"Pada saya, Pusic ni cara permainan dan fizikalnya cukup keras. Dia minat untuk merancang serangan dan gaya permainan pun cukup laju," kata Nurfitry Hareqh.

41468555679_GustavoLopez

Gustavo pernah bergelar tonggak di posisi tengah Terengganu FA. Astro Awani

Ketika aksi persahabatan di Kelantan, Pusic berjaya menjaringkan gol kemenangan yang mana berjaya mencatatkan kemenangan di bawah kendalian Tomislav.

Bagaimanapun, masih ada segelintir penyokong yang berpendapat persembahan bersemangat itu masih belum cukup untuk meletakannya setaraf dengan Gustavo.

Hal itu adalah kerana mereka melihat pemain kelahiran Argentina tersebut pernah mewarnai Liga Malaysia dengan meraih 20 penampilan selain mencatatkan empat jaringan peribadi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram