PERSEMBAHAN Terengganu FC (TFC) ketika aksi pramusim menentang Kelantan United FC (KUFC) dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini masih menjadi bualan penyokong.
Rata-rata seakan-akan tidak puas melihat air tangan ketua jurulatih Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner menguji keserasian dan kemampuan anak-anak buahnya.
Sekadar seri dengan skuad Kijang Hijau pada aksi kedua di laman sendiri, penyokong berharap barisan pemain TFC dapat mempamerkan aski lebih baik di Thailand nanti.
Seperti kelab lain, TFC juga memilih luar negara sebagai destinasi untuk menjalani latihan pramusim.
Namun aksi di negara jiran itu mungkin tidak boleh dihadiri sebahagian besar penyokong skuad Sang Penyu.
TFC merupakan kelab pertama di Malaysia yang menyediakan pIatform perkhidmatan 'streaming' menerusi TFC Play.
Justeru, ramai berharap perlawanan persahabatan itu dapat ditonton di aplikasi TFC Play yang dibangunkan pengurusan kelab bola tersebut.
Begitupun menerusi dua aksi persahabatan sebelum ini, rata-rata penyokong kurang berpuas hati dengan aplikasi berkenaan.
Ini kerana ramai tidak dapat membuat penstriman siaran langsung perlawanan berkenaan menerusi aplikasi tersebut.
Berdasarkan maklum balas, ia mengambil masa lama untuk loading sekali gus membuatkan ramai beralih alih ke medium Facebook atau YouTube bagi menyaksikan rakaman amatur daripada penyokong.
Penyokong juga berasa rugi kerana perlu membuat pembayaran sebanyak RM8 sebelum boleh menonton perlawanan tersebut secara streaming, yang sudahnya tidak boleh ditonton di telefon bimbit masing-masing.
Isu berbangkit lain yang diutarakan termasuklah ulasan pengulas yang kurang 'sedap' didengar selain pertindihan audio ketika ulang tayang perlawanan.
Justeru, penyokong benar-benar berharap aplikasi TFC Play itu diharap dapat ditambah segera supaya penyokong tidak terlepas aksi penting di Thailand nanti.
Di negara Gajah Putih itu, TFC antara lain dikhabarkan bakal bertemu kelab dari Denmark iaitu Odense Boldklub. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram