'Ulang-alik Shah Alam, Bukit Jalil lah kita', fans Tok Gajah teruja 2 skuad utama bakal menyinar 2023


  • Podium
  • Khamis, 26 Jan 2023

Matheus Gonzalez dan Amin Nasrollah merupakan pemain baharu Pahang Rangers. — Facebook/PahangRangers

BARISAN pemain baharu Sri Pahang musim 2023 dilihat akan membawa perubahan positif buat skuad tersebut dan dipercayai boleh mengembalikan zaman kegemilangan mereka.

Sehingga kini, pasukan tersebut sudah berjaya memikat seramai 12 pemain yang terdiri daripda tujuh tonggak tempatan dan empat bintang import baharu.

Antara nama sensasi yang diramal akan membantu Sri Pahang dari segi serangan pada musim ini ialah penyerang kelahiran Brazil Lucas Silva dan bekas tonggak Terengganu FC (TFC), Kpah Sherman.

Kpah-Sherman

Sherman menjadi taruhan baharu Sri Pahang untuk bergandingan dengan bekas pemain Penang FC, Da Silva. — Facebook/SriPahang

Selepas berita positif dari skuad Tok Gajah, penyokong Pahang terus tersenyum apabila skuad futsal negeri tersebut juga tidak berdiam diri apabila dilaporkan sedang sibuk membuat persiapan bagi musim 2023.

Menerusi perkongsian dari laman Facebook rasmi pasukan futsal, Pahang Rangers FC, sudah berhasil membawa masuk dua pemain import bagi meningkatkan kekuatan pasukan bagi menghadapi Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023.

Dua bintang import baharu Pahang Rangers ialah Matheus Augusto de Oliveira Gonzalez yang diterbangkan dari Brazil dan pemain kelahiran Iran, Amin Nasrollah Zadeh.

Dalam perkongsian dari pasukan futsal itu, dengan pengalaman Matheus Gonzalez beraksi di liga Brazil diramal boleh membantu perkukuhkan bahagian serangan Pahang Rangers.

Manakala, Amin Nasrollah yang sebelum ini merupakan tonggak pasukan kebangsaan Iran mampu beraksi di posisi ala ataupun pemain tengah.

pindah jdt

Abu Haniffa dan Awalluddin menyertai JDT bagi saingan musim 2023. — Facebook/PahangRangers

Meskipun Pahang Rangers hilang dua tonggak utama yang berhijrah ke Johor Darul Takzim (JDT), skuad kendalian Gerard Casas Ullastre itu sudah menjumpai pengganti mereka.

Kehadiran dua pemain itu membuatkan penyokong mula teruja untuk menyaksikan Pahang Rangers menjulang trofi MPFL di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam.

"Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam kita punya," kata penyokong Pahang Rangers, Ahmad Syahfifi.

"Letihlah kita nak berulang-alik dari Shah Alam ke Bukit Jalil saja tahun ini," kata penyokong, Nizam Marong yang juga berharap agar Sri Pahang akan layak ke final pertandingan Liga Malaysia (Liga M) di Bukit Jalil nanti.

Pahang Rangers berharap dengan kemasukan dua tonggak baharu itu mereka berjaya menamatkan penantian bagi menjulang trofi MPFL selepas dua musim berturut-turut bergelar naib juara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram