Fans JDT masih tagih sentuhan putera raja, tak rela insiden lama berulang jika ke Harimau Malaya


  • Podium
  • Ahad, 22 Jan 2023

Penyokong JDT berharap pemilik kelab itu kekal membimbing mereka ke tahap yang lebih baik. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

MESKIPUN tanpa beberapa nama besar ketika kempen Piala AFF 2022, pencapaian skuad kebangsaan yang berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir wajar diberikan pujian.

Keputusan manis yang berjaya dicatatkan termasuk kemenangan ke atas Thailand dan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pastinya akan kekal dalam kenangan penyokong bola sepak tanah air.

Ini kerana mereka pada awalnya berasakan cabaran besar perlu ditempuhi anak-anak buah Kim Pan-gon selepas terdapat kelab-kelab Liga Super yang enggan melepaskan pemain masing-masing.

Johor Darul Takzim (JDT) menjadi antara buah mulut ramai selepas pemiliknya, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim berasakan pertandingan itu tidak akan membawa pulangan seperti mana diharapkan.

Kata TMJ, Piala AFF yang bukan diadakan di bawah kalendar FIFA hanya akan menyebabkan pemain keletihan dan gagal mendapatkan waktu pemulihan untuk beraksi ketika Liga Super kelak.

Namun, meskipun tetap dengan pendiriannya, beberapa foto yang dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaparkan TMJ sempat bertemu skuad Harimau Malaya ketika sesi latihan.

Pertemuan yang diadakan sebelum aksi separuh akhir menentang Thailand di laman sendiri itu serba sedikit menyuntik semangat kepada pemain apabila mereka memenangi perlawanan tersebut.

Tidak cukup dengan itu, putera raja Johor itu turut membuktikan sikap cintakan tanah air dengan meminjamkan kanvas untuk menutup padang bagi memastikan kualitinya terjamin sepanjang pertandingan itu diadakan.

Kedua-dua sumbangan berkenaan menunjukkan bahawa TMJ masih sedaya upaya untuk membawa perbezaan mentaliti kepada skuad kebangsaan meskipun terpalit dengan kontroversi sebelum itu.

Bagaimanapun, baru-baru ini, muncul satu lagi khabar angin yang mengaitkan TMJ dengan Harimau Malaya menerusi satu hantaran dalam akaun Instagram @hrhcrownprinceofjohor.

"Calendar done!, Next HM #whatcanyoudo," tulisnya pada Rabu lalu.

Perkara tersebut seolah-olah memberi gambaran bahawa TMJ bakal memegang tugas penting dalam FAM, namun hingga kini tiada pihak yang mengeluarkan sebarang kenyataan akan hal itu.

Kedua-dua pihak sebelum ini pernah berganding bahu apabila TMJ pernah dipilih sebagai presiden badan induk bola sepak tempatan itu dari 2017 hingga 2018.

Walaupun tidak dapat membawa sebarang perubahan, kehadirannya serba sedikit mencatatkan sejarah baharu kepada sukan itu dengan membawa elemen-elemen berbeza.

Namun, ura-ura tersebut dilihat kurang diterima baik peminat fanatik bola sepak, termasuk penyokong JDT yang mengharapkan TMJ terus memberi tumpuan kepada kelab Harimau Selatan itu.

324398453_5742634402521791_4148380527072363290_n

TMJ sempat bertemu pemain Harimau Malaya ketika kempen Piala AFF 2022. — Facebook/FAM

Bagi mereka, meskipun sudah membawa skuad JDT ke dimensi baharu, kelibat TMJ masih diperlukan bagi menyuntik semangat kepada pemain dan staf kejurulatihan.

Tidak cukup dengan itu, tinjauan di media sosial mendapati ada yang menganggap sumbangan dan titik peluhnya tidak akan dihargai ketika bersama pasukan kebangsaan.

"Dengan jari-jari yang kurang menyenangkan, pedulikan sahaja Harimau Malaya dan biarkan sahaja FAM yang selesaikan. TMJ pernah dimaki dan dihina semata-mata hendak menaikkan bola sepak negara," kata Ahmad Sharif.

"Pada saya, kalau boleh, biarkan sahaja TMJ kekal bersama JDT. Harimau Malaya tu biarkan sahaja FAM yang melakukan tugas mereka," kata Abd Wahid.

"Kekal sahaja di JDT kerana sebelum ini, ketika TMJ pernah menyandang jawatan Presiden, dia dipertikaikan oleh mereka yang tidak tahu berterima kasih," kata Zainal Amir.

Selepas setahun memimpin badan induk itu, TMJ dipilih sebagai Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), yang mana dia hanya berada dalam persatuan tersebut selama dua tahun.

Ketika ini, meskipun tidak memegang apa-apa jawatan, TMJ masih bersuara lantang akan masa depan bola sepak tanah air, seperti memberi teguran kepada Sarawak United mengenai isu gaji yang dihadapi.

Namun, dengan jawatan pengurus Harimau Malaya masih belum diisi, adakah khabar angin itu benar dan persoalannya adakah TMJ mampu membawa perubahan seperti mana yang didambakan sejak sekian lama? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram