THAILAND membuktikan mereka merupakan pasukan terbaik Asia Tenggara apabila dinobatkan sebagai juara Piala AFF Mitsubishi Elecric 2022 selepas menundukkan Vietnam 1-0 pada final kedua yang berlangsung di Stadium Thammasat, Pathum Thani pada Isnin.
Kejayaan berkenaan membolehkan skuad Gajah Perang mengesahkan kejuaraan dengan keputusan agregat 3-2, sekali gus ia merupakan kemenangan kali ketujuh buat Thailand pada pentas Piala AFF.
Perlawanan di laman sendiri itu menyaksikan kapten Gajah Perang, Theerathon Bunmathan meledak gol dari luar kotak penalti pada minit ke-24 dan ia merupakan jaringan pertamanya pada kempen berkenaan.
Jaringan dari tonggak Buriram United itu mencuri perhatian penyokong bola sepak Asia terutamanya tanah air kerana ia dirembat deras dari kotak penalti selepas menerima hantaran dari Adisak Kraisorn yang bakal berhijrah menyertai pasukan Terengganu musim ini.
Thailand berjaya mengekalkan kejuaraan Piala AFF. — Instagram/Theerathon
Lebih menarik, ada beberapa penyokong tanah air menyifatkan gaya jaringan dari pemain berusia 32 tahun itu mirip dengan pemain Harimau Malaya, Stuart Wilkin.
Pada kempen Piala AFF 2022, tonggak Sabah FC itu berjaya menjaringkan tiga gol dan dua daripada jaringannya dirembat dari luar kotak penalti sehingga ia berjaya meraih perhatian media Indonesia.
Dua jaringan semasa menentang Singapura berjaya menjadikan pemain kacukan England-Malaysia itu dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan (MOTM).
"Pemain Thailand, kapten Theerathon Bunmathon ini dia punya gaya macam Stuart Wilkin. Dia cuba jaring dari jauh terus gol," tulis penyokong skuad Sabah FC, McKen.
Bagaimanapun, ada juga penyokong yang berpendapat kemahiran yang dimiliki bekas pemain Yokohama F.M itu jauh berbeza dengan bekas produk kelab England, Southampton itu.
Wilkin merekodkan sebanyak tiga gol bagi kempen Piala AFF 2022. — Instagram/StuartWilkin
"Kawalan, hantaran dan posisi Theerathon jauh lebih baik dari Stuart," komen penyokong, Ok Kupikupi Dulu Bhd.
"Jauh dia nak bandingkan dengan Stuart Wilkin. Theerthon ini dah pemain bertaraf dunia," kata seorang lagi penyokong, Mizan Hamid.
Dalam perlawanan menentang Vietnam itu, Theerathon dipilih sebagai MVP ataupun Pemain Paling Bernilai untuk edisi 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram