Malaysia atasi Chile, kemenangan sulung hoki Piala Dunia selepas 21 tahun


  • Podium
  • Selasa, 17 Jan 2023

Skuad hoki negara mampu menarik nafas lega selepas mencatatkan kemenangan pertama dalam Piala Dunia Hoki 2023. — Facebook/MHC

SELEPAS hampir 21 tahun menantikan momen bersejarah, skuad hoki negara yang diberi jolokan Speedy Tigers mencatatkan kemenangan dalam Piala Dunia Hoki 2023.

Dalam aksi kedua Kumpulan C menentang Chile, anak-anak buah A Arulselvaraj mengutip tiga mata penuh apabila menang dengan skor 3-2 di Stadium Birsa Munda, Rourkela, India pada Isnin.

Kemenangan itu pastinya satu detik yang cukup bermakna selepas mengalami kekalahan pada aksi pembukaan menentang Belanda 0-4 pada Sabtu.

Bagaimanapun, bagi Arulselvaraj, dia dilihat tidak terlalu gembira sepanjang perlawanan tersebut memandangkan Speedy Tigers merupakan skuad di ranking 23 dunia.

"Mereka sudah memaparkan tahap disiplin dan komitmen yang cukup baik untuk kembali daripada ketinggalan di tangan Chile bagi mencatatkan kemenangan.

"Kami akan mengadakan sesi pemulihan dan menjalankan analisis terhadap perlawanan itu. Pada Selasa (17 Januari), kami akan meninggalkan Bhubaneswar dan menentukan pendekatan taktikal untuk pertemuan menentang New Zealand pada 19 Januari," katanya.

Gotta stop him: Marhan Jalil (right) attempting to block a shot from a Chilean player during their Group C match. - FIH/World Sport

Marhan Jalil (kanan) ketika sedang menghadang pukulan daripada pemain Chile. FIH/World Sport

Dalam aksi menentang Chile, pihak lawan berjaya mendahului menerusi Juan Amoroso pada minit ke-20 sebelum Razie Rahim menyamakan kedudukan enam minit kemudian.

Tidak lama selepas itu, Chile terus bangkit untuk mengembalikan kelebihan, namun penyudah daripada Ashran Hamsani pada minit ke-41 jelas meredakan keadaan.

Skuad kebangsaan akhirnya berjaya mendapatkan jaringan pendahuluan menerusi Norsyafiq Sumantri yang menghukum kealpaan pihak lawan dengan menewaskan penjaga gol, Adrian Henriquez.

Dalam masa sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengucapkan tahniah kepada kejayaan itu menerusi satu ucapan ringkas di laman Twitter peribadinya.

"Tahniah team hoki Malaysia," ciapnya ringkas.

Kali terakhir skuad kebangsaan mencatatkan kemenangan dalam aksi Piala Dunia adalah pada 2002 apabila mereka menewaskan Cuba 4-2 dalam aksi kumpulan yang diadakan di Kuala Lumpur. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram