Kes wang bantuan sekolah lesap: Tiada pengiring, pembabitan 'orang dalam' disiasat


  • 112
  • Selasa, 17 Jan 2023

Mohd Zaid tidak menolak terdapat kemungkinan adanya unsur orang dalam berhubung kes terbabit.

KETUA Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan penuh berkenaan kejadian samun wang bantuan awal persekolahan berjumlah lebih RM100,000 yang berlaku di pekan Semenyih, Kajang, Selangor pada Isnin.

Tegasnya, siasatan tersebut termasuk mengenal pasti jika wujud unsur-unsur kecuaian atau penglibatan 'orang dalam' dengan ia melibatkan jumlah yang besar.

"Buat masa ini kita teruskan siasatan dengan meneliti semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti individu yang keluar masuk dari bank berkenaan.

"Kita akan siasat dari semua sudut, kemungkinan ada penglibatan orang dalam, kemungkinan ada kecuaian. Kita sudah rakam keterangan guru besar berkenaan dan akan ada lagi pihak akan dirakam keterangan dalam masa terdekat," katanya.

Mohd Zaid berkata demikian ketika sidang media selepas melancarkan Op Selamat ke-19 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada Selasa sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Sebelum ini dilaporkan kes kehilangan wang melebihi RM100,000 yang diperuntukkan untuk bantuan persekolahan sebuah sekolah rendah di Kajang, Selangor telah disamun penjenayah.

Wang tersebut dikeluarkan guru besar sekolah berkenaan, namun hilang selepas ia ditinggalkan di dalam keretanya selepas dia ke kedai membeli minuman.

Dalam masa sama, Mohd Zaid meluahkan kekecewaannya di atas kecuaian pihak sekolah yang tidak meminta bantuan pengiring keselamatan daripada pihak polis sebelum mengeluarkan wang berkenaan.

"Hasil soal siasat terhadap guru besar sekolah berkenaan, dia memberitahu tidak pernah meminta bantuan pengiring sejak 10 tahun berkhidmat dan tidak pernah berlaku kejadian seperti ini.

"Kita syorkan pada pihak sekolah untuk dapatkan bantuan pengiring daripada polis. Kita akan iring mereka daripada bank sehingga ke tempat yang selamat," katanya.