Beg berisi lebih RM100,000 lesap, tingkap kereta guru besar di Semenyih pecah ketika ke kedai


  • 112
  • Selasa, 17 Jan 2023

Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian berlaku apabila mangsa meninggalkan keretanya dan pergi ke kedai makan.

SEORANG guru besar berdepan detik cemas selepas kehilangan wang bantuan awal persekolahan berjumlah RM109,000 apabila dilarikan individu yang memecah tingkap kenderaannya di Semenyih, Selangor pada tengah hari Isnin.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, mangsa yang bertugas di sebuah sekolah rendah meninggalkan keretanya dan pergi ke kedai makan untuk membeli minuman.

Namun sekembalinya ke kereta, mangsa mendapati tingkap di bahagian kanan penumpang belakang dipecahkan dan beg yang berisi wang telah dicuri.

"Siasatan awal polis mendapati mangsa telah mengeluarkan wang berkenaan daripada sebuah bank di Kampung Baru Semenyih kira-kira 10 pagi dan memasukkannya di dalam sebuah beg.

"Mangsa kemudian meletakkan beg berkenaan di tempat duduk penumpang hadapan keretanya,” katanya menerusi satu kenyataan pada malam Isnin.

Jelas Mohd Zaid, pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan pada 12.17 tengah hari daripada guru besar itu, yang merupakan seorang lelaki berusia 50 tahun.

Selain itu, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi balai polis berhampiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram