Ketiadaan kelibat otai, rekrut baharu Sabah FC cetus tanda tanya


  • Podium
  • Sabtu, 14 Jan 2023

Sabah sudah memulakan sesi pra-musim untuk mengekalkan tahap kecergasan pemain. — Facebook/Sabah FC

PENCAPAIAN mengagumkan Sabah FC yang menduduki tangga ketiga Liga Super menyaksikan mereka layak ke pentas Asia musim ini buat pertama kali sejak 1995.

Kejayaan tersebut dikatakan berpunca daripada sentuhan ketua jurulatih berpengalaman, Datuk Ong Kim Swee yang cukup mahir merancang strategi berdasarkan kemampuan anak-anak buahnya.

Bagi penyokong pula, perkara itu semestinya diabadikan dalam memori masing-masing selain mengharapkan ia dapat diteruskan meskipun menyedari ia satu misi yang sukar.

Namun, sejak pembukaan jendela perpindahan Liga Malaysia, pihak pengurusan Sang Badak dilihat mencuba sedaya-upaya untuk merealisasikan impian berkenaan.

Kemasukan beberapa pemain yang berkualiti, seperti Darren Lok dan Irfan Zakaria menjadi antara langkah awal buat pasukan Borneo itu dalam mempersiapkan pasukan.

Selain itu, bagi memastikan tahap kecergasan skuad sedia ada berada di tahap optimum, latihan pra-musim juga sudah dijalankan seperti mana yang dikongsikan menerusi laman media sosial kelab.

Perkara tersebut dilihat berjaya membakar semangat dalam kalangan penyokong yang sudah seakan-akan merindui aksi dan kesungguhan dipamerkan pemain di atas padang.

Bagaimanapun, berdasarkan tinjauan di ruangan komen, terdapat beberapa kegusaran yang dikongsikan berikutan ketiadaan dua kelibat pemain ketika sesi latihan itu.

1874995

Amri merupakan antara watak penting Sang Badak pada 2022. Facebook/Sabah FC

Pemain berusia 41 tahun, Amri Yahyah dilihat tidak menyertai kem pra-musim terbabit dengan status kontraknya masih tidak terjawab oleh mana-mana pihak.

Ketiadaan penyerang tersebut pasti akan merobek hati rata-rata penyokong, lebih-lebih lagi apabila dia merupakan antara pemain terbaik dengan lima gol berjaya dijaringkan dalam 18 penampilan musim lalu.

"Amri Yahyah seperti sudah tiada aku nampak. Pada saya, dia tu masih OK bermain," kata Mohdafiq Abdullah Mohmdafiq Abdullah.

"Wak Am mana?" soal Addy Adi.

Sementara itu, rekrut import baharu, Jacob Njoku juga tidak dilihat bersama rakan sepasukannya meskipun kehadirannya ke dalam skuad sudah disahkan awal bulan lalu.

PSX_20220822_112857

Njoku merupakan antara pemain terbaik dalam Liga Perdana musim lepas. Facebook/Kelantan United FC

Bekas penyerang Kelantan United FC itu dikatakan bakal memikul tanggungjawab besar buat Sabah FC apabila dia berjaya mencatatkan enam gol dalam sembilan penampilan Liga Perdana musim lepas.

Jadi, tidak timbul sebarang persoalan apabila ketiadaannya mula dipersoalkan, lebih-lebih lagi dengan skuad Sang Badak amat memerlukan sentuhan penyerang yang mampu mengekalkan kecergasan sepanjang tempoh Liga Super akan datang.

"Masih tiada lagi penampakan si Jacob Njoku," kata Azmy Jp.

"Ehh, mana pula Jacob Njoku, belum pulang dari kampung kah?" soal Mc Ken.

Selain bakal beraksi dalam kempen Piala AFC 2023, Sabah FC turut berdepan cabaran apabila terdapat penambahan jumlah pasukan kepada 14 dalam Liga Super akan datang.

Oleh itu, ia pasti akan menjadi satu tentangan buat Kim Swee dan barisan kejurulatihannya untuk memastikan tonggak pasukannya tidak akan bergelut dengan isu kecederaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram