Sanggup jamah nasi sekali seminggu rahsia Amri kekal cergas, aksi bertenaga kalah pemain muda


  • Podium
  • Jumaat, 23 Dis 2022

Selain memilih makanan untuk dijamah makanan, pemain sayap skuad The Rhinos itu juga menjaga tidurnya.

TIDAK semua orang yang semakin berusia akan mengalami perubahan dari segi fizikal dan tahap kesihatan terutamanya jika mereka mempunyai ramuan tersendiri untuk menjaga diri.

Seperti legenda bola sepak Malaysia, Amri Yahyah, walaupun sudah menjangkau usia 41 tahun, namun itu bukanlah penghalang untuk mempamerkan persembahan bertenaga apabila berada di padang.

Bukan sahaja mampu memberikan 100 peratus konsentrasi dan tenaga ketika bermain di saingan Liga Malaysia (Liga M) tetapi bintang Sabah FC itu turut memberikan aksi bertenaga apabila turun padang bersama rakannya.

Baru-baru ini tular, satu video di aplikasi media sosial Facebook yang menunjukkan video Amri membuat larian deras dan aksinya itu mendapat pujian penyokong bola sepak.

Aksi Amri dalam video tersebut disifatkan seperti tidak menggambarkan usianya kerana kepantasan dan stamina yang dimilikinya boleh mengalahkan pemain muda.

Dalam video yang dimuat naik di Facebook, MR17 Official itu, Amri dilihat melakukan larian deras dari sebelah kiri padang sebelum berjaya menewaskan pertahanan dan seterusnya melakukan hantaran kepada rakan sepasukan.

Susulan video tular tersebut, ramai penyokong mula tertanya-tanya apakah rahsia ataupun tip di sebalik tahap kecergasan yang ditampilkan Amri ketika beraksi di dalam saingan Liga M mahupun bermain bola secara santai bersama rakan.

Bekas tonggak Johor Darul Takzim (JDT) itu menyatakan dia sangat menjaga pemakanan bagi membolehkan terus mencapai tahap kecergasan maksimum.

Selain memilih makanan untuk dijamah, pemain sayap skuad The Rhinos itu juga menjaga masa tidurnya.

"Bagi saya senang saja nak jaga fitness. Jaga makanan dan minuman lepas itu tidur cukup. Makanan itu memang saya memilih, ada makanan yang saya memang tak makan.

"Macam nasi saya tak makan sangat, seminggu sekali saja saya makan. Minum air banyak," katanya kepada Majoriti ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Karnival Sukan Terbesar Malaysia Al-Ikhsan Sports di Dewan Tun Razak 3 & 4, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

WhatsApp Image 2022-12-23 at 18.59.29

Sekitar Majlis Pelancaran Karnival Sukan Terbesar Malaysia Al-Ikhsan Sports.

Karnival sukan anjuran syarikat peruncitan barangan sukan, Al-Ikhsan itu memberi peluang kepada semua pelanggannya bagi menikmati diskaun sehingga 80 peratus untuk lebih 180,000 barangan sukan yang pastinya akan menggayakan sambutan tahun baharu dengan lebih ‘sporty’ dan selesa.

Dalam pada itu, Amri juga menambah bahawa kini dia banyak menghabiskan masa bersama keluarga sebelum saingan Liga Malaysia 2023 bermula, selain turut bermain bola bersama rakan-rakannya.

Untuk rekod, tahun ini merupakan musim kedua Amri bersama Sabah FC dan dia berjaya meledak lima jaringan buat pasukan Sang Badak dalam 24 penampilan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram