Umpama De Paula, khidmat 4 pemain Harimau Malaya dijangka temui titik noktah


  • Podium
  • Jumaat, 13 Jan 2023

Menjadi persoalan ramai siapakah bakal digugurkan oleh Pan-gon bagi kejohanan Piala Asia 2023. — Facebook/FAM

PERJALANAN Harimau Malaya di pentas Piala AFF 2022 tamat apabila tewas 0-3 kepada Thailand dalam aksi separuh akhir kedua menerusi perlawanan yang berlangsung di Stadium Thammasat, Thailand pada Selasa.

Walaupun berjaya menewaskan Thailand dalam aksi separuh akhir pertama dengan jaringan 1-0 di halaman sendiri, skuad kebangsaan terpaksa akur dengan kehebatan pasukan lawan dengan ketiadaan pemain-pemain utama Harimau Malaya.

Sepanjang berlangsungnya Piala AFF 2022, banyak komen positif dan negatif diterima pemain dari pelbagai pihak.

Kempen Piala AFF kali ini skuad kebangsaan sedikit tempang apabila ketiadaan pemain-pemain utama seperti Arif Aiman, Akhyar Rashid, Shahrul Saad dan lain-lain.

Umum mengetahui pemain-pemain terbabit menolak panggilan skuad kebangsaan kali ini disebabkan kejohanan Piala AFF yang berada di luar kalendar FIFA.

Namun apakah nasib pemain sedia ada jika Ketua Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan-gon memanggil semula pemain-pemain utama Harimau Malaya untuk menghadapi kejohanan penting seperti Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Qatar hujung tahun ini.

Pemain yang pernah dipanggil dan tidak lagi mendapat panggilan kebangsaan ialah dua pemain naturalisasi kebangsaan De Paula dan Liridon Krasniqi.

Berikut empat pemain dijangka digugurkan oleh Pan-gon untuk menghadapi kejohanan Piala Asia 2023 nanti:

Shamie Iszuan pertama kali mendapat peluang menyarung jersi skuad senior kebangsaan. Facebook/FAM

1. Shamie Iszuan

Bekas pemain Sarawak United, Shamie Iszuan pertama kali mendapat peluang menyarung jersi skuad senior kebangsaan.

Sebelum ini nama Shamie kurang dikenali penyokong tempatan, namun aksinya bersama Sarawak United berjaya menarik perhatian Pan-gon.

Dengan ketiadaan pemain seperti Matthew Davies dan Arif Aiman dalam skuad kebangsaan kali ini memberikannya peluang untuk mengisi tempat kosong yang ditinggalkan dua bintang Harimau Malaya itu.

Namun pemain berusia 27 tahun itu sering menjadi pemain gantian buat pertahanan muda Terengganu, Azam Azmi Murad dan penyerang Ratchaburi FC, Safawi Rasid.

Selepas ini dengan kehadiran semula Arif Aiman dan Matthew Davies, pemain kelahiran Kuching, Sarawak ini pastinya bukan menjadi pilihan utama Pan-gon di masa akan datang.

Persembahan positif Nor Hakim bersama Selangor dilihat tidak dapat ditampilkan bersama skuad kebangsaan. Facebook/FAM

2. Nor Hakim Hassan

Sepanjang kempen Piala AFF berlangsung, Nor Hakim hanya berjaya membarisi kesebelasan utama sebanyak dua kali ketika bertemu Laos dan Thailand.

Persembahan positif Nor Hakim bersama Selangor dilihat tidak dapat diketengahkan apabila kelihatan sedikit gugup di pentas antarabangsa.

Faktor perubahan posisi turut memainkan peranan apabila bersama Pan-gon dia diminta untuk bermain sebagai pemain sayap bertahan.

Bersama Selangor, pemain berusia 31 tahun itu berjaya menjaringkan enam gol dan lima bantuan jaringan dalam 36 penampilan sejak 2021.

Kehadiran semula Akhyar Rashid dan Corbin Ong akan menjadi salah satu penyebab utama Nor Hakim digugurkan di tambah prestasi menakjubkan oleh Ruventhiran sepanjang kempen Piala AFF.

Rowley mengakui dia tidak berfikir panjang untuk kembali ke Malaysia bagi menyarung jersi skuad kebangsaan. Facebook/FAM

3. David Rowley

Pengorbanan pemain kacukan Australia-Malaysia, David Rowley tidak boleh disangkal apabila sanggup terbang ke Malaysia selepas tiga tahun tidak bertemu keluarga.

Rowley mengakui dia tidak berfikir panjang untuk kembali ke Malaysia dari Jerman apabila Pan-gon memanggilnya untuk mewakili negara.

Namun begitu, berkemungkinan penyokong Harimau Malaya sukar untuk melihat pemain ini menyarung semula jersi skuad kebangsaan selepas ini.

Ia berikutan kepulangan semula pemain tengah Johor Darul Takzim (JDT), Syamer Kutty Abba yang dijangka sudah pulih dari kecederaan lutut.

Syamer Kutty merupakan tunjang utama Harimau Malaya dalam kempen kelayakan Piala Asia 2023 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jun 2022.

Kecemerlangan Mukhairi (kanan) gagal diterjemahkan ke dalam skuad kendalian Pan-gon.

4. Mukhairi Ajmal

Bintang muda Selangor FC gagal menepati ramalan ramai ekoran persembahan buruk kempen Piala AFF 2022.

Kecemerlangan Mukhairi bersama Gergasi Merah gagal diterjemahkan ke dalam skuad kendalian Pan-gon.

Berikutan itu, anak muda ini dijangka akan digugurkan dari skuad Pan-gon selepas kehadiran semula pemain tengah seperti Nazmi Faiz dan Azam Azih.

Malahan, ada kemungkinan pemain naturalisasi baharu, Endrick dos Santos, Romel Morales dan Paulo Josué merebut tempat ke dalam skuad Harimau Malaya selepas berakhirnya kempen Piala AFF. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram