MEMILIKI sebuah kenderaan boleh dikatakan sebagai satu kewajipan pada zaman ini. Rata-rata golongan belia yang baru sahaja bekerja, tidak teragak-agak untuk membeli kenderaan.
Bagi memudahkan pergerakan dan keselesaan, sesetengah orang menganggap kereta sebagai ‘kekasih’ dan diberikan nama seperti haiwan peliharaan.
Mana tidaknya, ratusan ringgit diperuntukkan sebagai bayaran ansuran bulanan yang tentu sahaja menambahkan lagi rasa sayang.
Selain menikmati segala kemudahan sedia ada seperti sistem radio bluetooth, kamera undur dan navigasi sistem kedudukan sejagat (GPS).
Namun terdapat juga beberapa item tambahan yang boleh dijadikan sebagai aksoseri berguna.
Berikut Majoriti senaraikan lima barang yang boleh memberi nilai tambah dan membuat pemanduan lebih selesa.
Pemegang penyangkut
Alat ini boleh diletakkan pada bahagian belakang sandaran kepala. Boleh digunakan sebagai tempat menggantung tambahan seperti beg atau barangan belian.
Mini vakum
Kekemasan dan kebersihan dalam kereta penting bagi mengelakkan kehadiran serangga perosak seperti lipas dan semut.
Oleh itu, sebarang kotoran sama ada pasir, habuk atau sisa makanan boleh dihilangkan dengan menggunakan mini vakum.
‘All in one’
Menyediakan sebuah beg atau bekas untuk menyimpan barangan di ruangan bagasi antara solusi terbaik untuk simpanan barangan.
Sebagai contoh, kasut, peralatan perkhemahan, peralatan sukan atau apa sahaja yang boleh disimpan di ruangan bagasi.
Selain dapat menjimatkan masa untuk mencari barangan keperluan, kereta juga tidak berselerak dan kelihatan lebih teratur.
Bekas sampah
Ingat! Menjadi satu kesalahan membuang sampah di merata tempat. Tidak mengira sama ada kenderaan sedang berhenti atau bergerak, perbuatan membuang sampah sesuka hati merupakan satu tindakan pengotor dan pemalas.
Oleh itu, sebaiknya sediakan bekas sampah atau mini tong sampah. Cara ini boleh membantu untuk mendidik diri agar tidak membuang sampah di merata tempat sama ada di luar mahupun dalam kereta.
Sisa yang ada kemudian dibersihkan dan dibuang ke tong sampah utama.
Pengecas tanpa wayar
Alat pengecas telefon atau peranti pintar wayarles atau tanpa wayar menjadikan kereta kelihatan lebih eksklusif dan canggih.
Cara ini juga dapat menjimatkan masa daripada perlu memasang kabel kepada pemacu USB.
Sebaliknya pengecas terus dipasang dengan kabel bersama pamacu USB dan sedia untuk berkhidmat untuk mengecas bateri telefon pada bila-bila masa. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram