[VIDEO] Warga emas santai 'berasap' walaupun dihempap pokok


  • Benua
  • Jumaat, 06 Jan 2023

Tangkap layar video Daeng dilihat sedang menghisap rokok ketika berada di bawah runtuhan.

SEBUAH video tular di media sosial Indonesia memaparkan rumah seorang lelaki warga emas runtuh akibat dihempap sebatang pokok besar, lapor Suara.com.

Hujan lebat dan angin kencang menyebabkan beberapa pokok tumbang dan menimpa rumah penduduk termasuk rumah Daeng Gewa, 80 yang terletak di daerah Tallo, Kota Makassar, Indonesia.

Penduduk yang panik segera berkumpul di rumah Daeng untuk menyelamatkannya yang tersepit di sebalik runtuhan.

Reaksi Daeng bagaimanapun menghairankan mereka apabila dia dilihat merokok ketika badannya berbaring di bawah pokok tumbang.

Sementara itu, sebilangan pasukan kecemasan berusaha mengalihkan pokok tersebut.

Dengan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda panik, dia yang berbaring membelakangi penduduk terus menghabiskan rokoknya.

Ketua Bahagian Penyelamat Balai Bomba Makassar, Safari Abustam berkata, Daeng Gewa mengalami beberapa kecederaan.

“Luka di betis kanan. Kami memindahkannya ke hospital untuk dirawat,” kata Safari.

Menurut Safari, Daeng ketika kejadian sedang berusaha menenangkan dirinya dengan merokok.

Tindakan Daeng mendapat perhatian orang ramai di ruangan komen.

“Mungkin dia sudah dalam tahap pasrah hidup. Apa pun masalah, bawalah dengan tenang, nak marah pun dah jadi musibah,” kata pengguna media sosial.

"Mungkin merokok adalah cara terbaik untuk bertenang supaya anda tidak panik," ujar pengguna lain. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram