[VIDEO] 'Saya tiada niat buruk', perakam video akui terkenang zaman di kampung


  • Tular
  • Jumaat, 06 Jan 2023

Tangkap layar kereta lembu yang tular ditunggang di jalan raya oleh tiga lelaki di Jalan Besar, Seri Kembangan.

TULAR satu video memaparkan kereta lembu ditunggang di jalan raya oleh tiga lelaki di Jalan Besar, Seri Kembangan dekat Selangor pada Khamis.

Dalam video berdurasi enam saat itu menunjukkan kereta lembu itu dilihat berada di sebelah kiri jalan.

Menurut perakam video berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Azrul Radi berkata, kejadian tersebut dirakam pada pukul 6 petang Isnin.

"Saya dalam perjalanan pulang ke rumah dari pusat beli belah South City Plaza ke Cheras. Keadaan jalan raya pada waktu itu juga agak lengang kerana cuti umum sempena tahun baru.

"Saya tiada niat buruk pun masa rakam, ambil video untuk kenangan sahaja kerana teruja. Mengimbau kenangan lama ketika berada di kampung," katanya pada Majoriti.

Menurut Azrul lagi, keberadaan kereta lembu berkenaan di jalan raya juga dilihat tidak berbahaya pada pengguna jalan raya yang lain.

"Kereta lembu tersebut dipandu dengan berhemah dan berada di lorong sebelah kiri.

"Saya tak sangka pula video berkenaan akan menjadi menjadi viral (tular) sekali gus mengundang perasaan kurang senang sesetengan pihak," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A Anbalagan berkata, mengesahkan menerima maklumat berkaitan video tular tersebut.

Katanya, video tersebut memaparkan sebuah kereta lembu yang ditunggang oleh tiga lelaki di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati, rakaman tersebut dirakamkan pada Isnin lalu sebelum tular di media sosial.

“Menurut pemilik kereta lembu terbabit, aktiviti tersebut merupakan latihan baginya untuk perarakan sempena Thaipusam yang bermula Februari ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Jalas Anbalagan, pemilik kereta lembu tersebut juga sudah membuat laporan polis di Balai Polis Seri Kembangan dan menceritakan kejadian itu pada Khamis.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 11 (c) Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya.

Anbalagan turut menasihatkan orang ramai agar mematuhi undang-undang dan tidak membahayakan pengguna jalan raya yang lain sekiranya menggunakan sebarang binatang di jalan awam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram