SEORANG budak perempuan orang kelainan upaya (OKU) maut dipercayai akibat dipukul oleh teman lelaki ibunya, sebelum mayat kanak-kanak malang itu dicampak di kawasan semak di Kampung Kranji, Bau, Sarawak.
Mangsa berusia enam tahun terbabit dipercayai dipukul oleh suspek berusia 35 tahun antara 15 dan 17 Disember lalu, menyebabkan ibu mangsa bersama anak perempuannya tidak lagi berani pulang ke rumah.
Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon yang mengesahkan kejadian tersebut memberitahu, satu laporan polis dibuat pada 21 Disember berkaitan perkara itu.
Menurutnya, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak berjaya menangkap suspek berusia 35 tahun di sebuah tempat menjual komponen kenderaan di Jalan Laksamana Cheng Ho, Kuching pada 4 Januari.
Polis menemukan mayat mangsa di kawasan semak di Kampung Kranji. — Utusan Borneo
"Soal siasat terhadap suspek mendapati dia telah memukul anak bongsu teman wanitanya itu sehingga tidak bernyawa dan membuang mayat mangsa di kawasan semak di Kampung Kranji.
"Sekitar pukul 6.45 petang (4 Januari), polis yang dipandu arah suspek telah pergi ke lokasi di mana mayat mangsa dibuang.
"Ibu mangsa turut dibawa ke lokasi dan dia mengesahkan bahawa mayat tersebut adalah anaknya berdasarkan pakaian dan anak patung yang dipegang oleh mangsa," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Ibu mangsa dan teman lelakinya ditahan bagi membantu siasatan. — Utusan Borneo
Mayat mangsa seterusnya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.
Manakala, ibu mangsa yang berusia 34 tahun turut ditangkap untuk siasatan lanjut.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Polis menjalankan siasatan kes ini secara rapi serta profesional dan akan melengkapkan siasatan untuk dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram