KEDAH Darul Aman FC membuat kejutan apabila mengumumkan pemain import sayap Sri Pahang, Manuel Hidalgo sebagai pemain terbaru mereka bagi musim 2023.
Pemain berusia 24 tahun itu merupakan watak penting yang membantu jentera serangan Sri Pahang selama dua musim berturut-turut sebelum ini.
Hidalgo diumumkan sebagai pemain baharu Kedah pada Khamis. — Facebook/ Kedah DA
Kemasukan Hidalgo ke dalam skuad Sang Kenari bimbingan Nafuzi Zain sama sekali tidak diduga terutamanya oleh penyokong Sri Pahang yang masih tidak percaya kehilangan sentuhan kreatifnya musim depan.
Kehadirannya dalam skuad Sang Kenari sangat ditagih oleh Nafuzi dalam usaha mencari pengganti Faisal Halim di posisi sayap memandangkan penyerang skuad kebangsaan itu tidak mengikut jejak langkahnya ke Stadium Darul Aman, sebaliknya disahkan menyertai Selangor FC.
Namun persoalannya, adakah Hidalgo mampu meneruskan rentak kecemerlangannya ketika bersama Tok Gajah dahulu?
Ini merupakan pro dan kontra Hidalgo di bawah bimbingan Nafuzi pada musim 2023:
Pro:-
Hidalgo sering kali menjadi perancang utama untuk memulakan serangan apabila Tok Gajah memegang bola. — Facebook/ Sri Pahang FC
1. Corak permainan pantas
Seperti yang diketahui ramai penyokong bola sepak tempatan, Hidalgo merupakan seroang pemain yang mempunyai kelincahan dan kebolehan membawa bola.
Disebabkan itu, pemilihan Hidalgo sebagai pemain import baharu Kedah dilihat ideal kerana jelas Nafuzi menyukai corak permainan yang pantas dengan hantaran satu dua di tengah padang.
Ketika di Sri Pahang, Hidalgo sering kali menjadi perancang utama untuk memulakan serangan apabila Tok Gajah memegang bola.
Sebelum ini Nafuzi mempunyai Faisal Halim sebagai senjata utama untuk mengumpan dan mengucar-kacirkan pertahanan lawan, namun kini tugas itu boleh digalas oleh Hidalgo di Kedah nanti.
Hidalgo pernah bermain bersama kelab England, Sheffield Wednesday. — Agensi
2. Pelaburan jangka panjang
Hidalgo pada musim ini baru sahaja berusia 24 tahun dan ini menjadikannya antara pelaburan buat Kedah di masa akan datang.
Jika dilihat banyak pasukan gemar menukarkan status pemain import kepada naturalisasi, kebarangkalian Hidalgo turut boleh menjadi pemain tempatan selepas cukup syarat lima tahun bermain di Liga Malaysia (Liga M).
Hidalgo mula bermain di dalam Liga M sejak 2021 bersama Pahang dan ini merupakan tahun ketiganya bermain di Malaysia.
Pemain berasal dari Argentina ini boleh mengikut jejak langkah rakan senegaranya, Sergio Aguero jika beraksi lagi dua tahun dan kekal konsisten bersama skuad Sang Kenari.
Hidalgo ketika melakukan debut bersama pasukan Sri Pahang dan menjaringkan satu gol. — Facebook/Sri Pahang
3. Memahami corak permainan Liga M
Sejak mula menyertai Pahang, Hidalgo sering kali menjadi kesayangan penyokong Tok Gajah apabila tidak menunggu masa menyesuaikan diri dengan corak permainan bekas pasukannya itu.
Walaupun dikatakan Kedah terpaksa membayar harga mahal untuk menebus kontrak pemain tersebut, namun ia bukan satu kerugian kerana Hidalgo sudah mengenali corak permainan di Liga M.
Sebagai rekod Hidalgo pada musim pertamanya bersama Pahang berjaya membuat dua jaringan gol dan tiga assist (bantuan gol) dalam 10 penampilannya.
Manakala musim kedua bersama Tok Gajah, pemain kelahiran Argentina ini berjaya merekodkan tujuh jaringan, 11 assist dalam 25 penampilan di semua kejohanan domestik.
Kontra:-
Ronald Ngah antara bintang flop di Kedah pada musim lalu. — Facebook/Kedah DA
1. Jelmaan semula Ronald Ngah
Hidalgo hadir dengan reputasi besar ketika bersama Tok Gajah, namun adakah pemain berusia 24 tahun ini mengulangi kejayaannya bersama Pahang?
Ini kerana dahulu sebelum kehadiran Ronald Ngah ia digembar-gemburkan sebagai pemain bintang berprofil tinggi kerana menjadi penjaring terbanyak liga utama Jordan sebelum menyertai Kedah.
Menjadi persoalan adakah Hidalgo turut terkena badi seperti Ronald Ngah sebelum ini dan mengecewakan seluruh penyokong Sang Kenari.
Penyokong Kedah menaruh harapan tinggi buat Hidalgo. — Facebook/Kedah FA
2. 'Pressure' penyokong fanatik Sang Kenari
Pengumuman kehadiran Hidalgo ke dalam skuad Sang Kenari pada Khamis sudah semestinya mengembirakan hati seluruh penyokong Kedah.
Namun, adakah Hidalgo dapat meneruskan rentak kecemerlangannya bersama Pahang jika banyak tekanan yang diberikan oleh penyokong fanatik Kedah.
Contoh terbaik sudah berlaku depan mata, lihat saja kecaman demi kecaman yang diterima Ronald Ngah apabila tidak memenuhi jangkaan penyokong Sang Kenari musim lepas.
William Lira Sousa turut diperkenalkan sebagai pemain import baharu Brazil. — Facebook/Kedah DA
Selain Hidalgo, dua lagi pemain import turut memperkuatkan pasukan tersebut ialah pemain pertahanan dari Serbia, Bojan Ciger dan penyerang dari Brazil, William Lira Sousa.
Pengumuman mengenai barisan pemain Kedah musim 2023 pada Khamis dibuat oleh pemilik kelab, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar.
Ia turut mengumumkan dua pemain skuad Harimau Malaya menyertai pasukan tersebut iaitu pemain naturalisasi, Lee Tuck dan penjaga gol, Kalamullah Al Hafiz. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram