'Macam nak bawa pusing satu Terengganu', maaf Lee Tuck... fans kini 'excited' sambut Ivan Mamut


  • Podium
  • Selasa, 03 Jan 2023

Ivan Mamut (tengah) membuat hantaran di Instagram Story mengenai gambarnya di lapangan terbang Zagreb, Croatia pada Isnin. — Instagram

TERENGGANU FC yang bakal mengharungi saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC 2022) musim ini giat mempersiapkan pasukan termasuk mempertajamkan bahagian serangan.

Penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Sang Penyu bagi digandingkan dengan Adisak Kraiso, penyerang Thailand yang sudah menandatangani kontrak selama dua musim bersama pasukan tersebut.

Penyokong skuad Sang Penyu semakin teruja lantaran pemain itu dikatakan sudah dalam perjalanan ke Malaysia selepas memuat naik gambarnya di lapangan terbang pada Isnin.

Gambar hitam putih yang dimuat naik 13 jam lalu itu bagaimanapun tidak menyertakan sebarang kapsyen berkaitan, namun penyokong mengandaikan destinasi pemain itu ialah Malaysia.

MTY0MTBlMmU0YjYyNTViZjZkZDM1NTAxYjY=.thumb

Pemain berketinggian 1.92 m ini membuat 13 penampilan dan satu gol sebelum dilepaskan pada Ogos tahun lepas. — Agensi

Tangkap layar gambar berkenaan kemudian dimuat naik di laman Facebook Penyokong Terengganu FC.

"Dia mari dah sobat (sahabat). Pagi sarapan, tengah hari sign (kontrak), petang training, malam (pergi) pata (Pantai) Batu Buruk," usik seorang penyokong, Safwan Abdullah di ruangan komen itu.

Lee Ghannu pula menambah, "Orientasi makan keropok lekor pulok."

"Luso (lusa) bawa pergi makan nasi dagang dulu," komen Muhammad Fahmi.

"Maaf Lee Tuck, Ganung doh ado player lagi best," kata Farhan Roslan.

Ivan yang berusia 25 tahun itu pernah beraksi bersama kelab Football Club SB (FCSB) dalam Liga Romania.

318246272_588543859944643_6530015733959119605_n

Ivan Mamut dikaitkan dengan perpindahan ke Terengganu. — Facebook

Pemain berketinggian 1.92 meter (m) itu membuat 13 penampilan dan satu gol sebelum dilepaskan pada Ogos tahun lepas.

Selain Mamut yang dikaitkan dengan Terengganu, seorang lagi pemain Croatia yang tidak didedahkan turut diintai pasukan Pantai Timur itu bagi mengisi posisi pemain tengah bertahan.

Pada Isnin, Terengganu FC mengumumkan pemain kebangsaan Uzbekistan, Sardor Kulmatov menjadi pemain import keempat menyertai kelab itu bagi mengharungi kancah Liga Malaysia musim ini.

Sebelum ini, skuad bimbingan Tomislav Steinbrucnker itu sudah mengikat kontrak Adisak, Sony Norde (Haiti) dan menyambung kontrak pemain musim lalu, Habib Haroon dari Bahrain.

Kehadiran pemain-pemain berkaliber itu pastinya mengubati kekecewaan penyokong TFC yang dikhabarkan terlepas khidmat pemain naturalisasi kebangsaan, Lee Tuck pada 2023 apabila penyerang itu tidak menjadikan Kuala Terengganu sebagai destinasi baharu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram