'Dah ready nak lawan team Dion Cools ke?', kecewa tiada muka baharu, penyokong mula persoal kredibiliti TRW


  • Podium
  • Ahad, 01 Jan 2023

Setakat ini, Kelantan FC hanya mengumumkan beberapa nama pemain yang kekal dan keluar bagi musim 2023. — Facebook/TRW

BANYAK kelab telah mengumumkan pemain-pemain baharu dan ini sedikit sebanyak mengembirakan hati penyokong yang sentiasa menantikan berita perkembangan pasukan masing-masing.

Namun, lain pula ceritanya buat penyokong Kelantan apabila mereka masih menantikan berita-berita baik daripada pihak pengurusan.

Baru-baru ini menerusi media sosial rasmi Kelantan FC, pihak pengurusan ada mengumumkan beberapa nama pemain yang kekal dan keluar sahaja.

Kelantan FC turut memberitahu bahawa pada 15 Januari ini, skuad The Red Warriors (TRW) akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan gergasi Thailand, Buriram United.

Perkhabaran tersebut menimbulkan tanda tanya kepada penyokong TRW adakah skuad mereka sudah mempunyai bilangan pemain yang lengkap?

Buriram United dijadualkan bertemu Kelantan FC di Songkhla, Thailand pada Januari. Facebook

Menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen, rata-rata penyokong TRW mempersoal adakah Kelantan FC sudah mempunyai pemain baharu yang akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain lama musim depan.

"Nak pinjam pemain dari mana? Yang ada sekarang ini pun belum cukup," kata Suhaimi Mohd Yusoff.

"Ahhh sudah, pemain dah cukup ke?" soal Mazlan Ismail.

"Pasukan TRW dah siap ke? Sampai nak buat perlawanan persahabatan ini," ujar Mohd Azwan.

"Nak lawan team Dion Cools, tapi pemain yang masuk seorang pun tak umum lagi," luah Mat Nawau.

Thomas Trucha dilantik sebagai ketua jurulatih KUFC pada musim depan. Facebook/Kelantan United FC

Dalam pada itu, pasukan adik-beradik TRW, Kelantan United (KUFC) yang akan tampil buat pertama kali dalam Liga Super musim depan juga difahamkan serius membuat persiapan untuk mengharungi saingan musim 2023.

Perkara itu disebabkan usaha mereka yang mahu memantapkan pasukan dengan membawa masuk beberapa pemain senior yang boleh menjadi faktor bagi menarik lebih banyak sokongan.

Pada masa sama, perlantikan bekas pengendali skuad Penang FC, Thomas Trucha sebagai ketua jurulatih KUFC pada musim depan juga menghangatkan lagi sembang-sembang di kedai kopi antara penyokong.

Kelantan United juga sedang dalam mendapatkan khidmat bekas pemain Kelantan serta legenda TRW iaitu Latiff Suhaimi dan Indra Putra Mahyuddin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram