[VIDEO] ‘Jangan tanya saya, kena rujuk pengurusan’ — Pengurus TFC respons kritikan terbuka Faisal Halim


  • Podium
  • Ahad, 25 Dis 2022

Fadhil enggan memberi penjelasan lanjut mengenai dakwaan yang dibangkitkan Faisal.  — Facebook/Terengganu FC

PEMAIN sayap baharu Selangor FC, Faisal Halim tidak pernah lekang dengan isu di luar padang apabila dia dilihat mengambil pendekatan terbuka untuk membuat teguran kepada pihak pengurusan.

Sebelum ini, ketika dia masih lagi berkhidmat bersama Terengganu FC, pemain berusia 24 tahun itu pernah mempersoalkan keputusan untuk tidak menyambung kontrak bekas pengendali, Nafuzi Zain.

Perkara tersebut dilihat sebagai satu bentuk kritikan secara umum dengan dia berasakan sumbangan jurulatih itu tidak diberikan penghargaan sepenuhnya.

Lebih teruk lagi, dia juga sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa masa depannya bersama skuad Sang Penyu adalah berdasarkan status Nafuzi bersama kelab, sekali gus mencipta keretakan antara semua pihak.

Tidak terkecuali untuk membincangkan perkara itu ialah penyokong Terengganu FC dengan ada daripada mereka menyifatkan luahan berkenaan hanya bertujuan menjatuhkan reputasi pasukan.

Namun, ada juga yang berasakan pendekatan diambil bekas penyerang Pahang FA itu adalah wajar bagi mengelak pihak pengurusan untuk terus melepas tangan setiap kali isu tersebut dinaikkan.

Baru-baru ini, Faisal sekali lagi mencuri perhatian media dan penyokong bola sepak tempatan apabila dia mendedahkan bahawa terdapat sesuatu yang masih belum selesai antaranya dan pihak pengurusan.

Pendedahan berkenaan pada awalnya dibuat menerusi hantaran di laman Twitter peribadinya menggunakan tanda pagar Pulangkan Hak Saya di samping mempersoalkan tindakan yang diambil itu.

Untuk mendapatkan makna di sebalik mesej tersirat, media mengambil keputusan untuk menyampaikan soalan tersebut ketika ditemui selepas aksi kedua Kumpulan B Piala AFF menentang Laos pada Sabtu.

Kata Faisal, hantaran terbabit dibuat untuk meminta agar pihak pengurusan berbincang dengan lebih lanjut mengenai pemotongan gaji terakhir yang diterimanya sebelum berkelana ke Selangor FC.

"Sebenarnya saya tiada masalah dengan Terengganu, benda ni dah habis dan Alhamdulillah, sekarang saya sudah masuk Selangor FC dan saya hormati Terengganu, tapi bila sampai tahap macam ini saya tidak boleh tahan, saya tak boleh sabar.

"Saya tak kisah kalau mereka nak potong gaji, potong lepas saya buat kenyataan, dua tiga hari bagi surat amaran dan potong bulan Oktober, tapi bila saya dah keluar, tengok-tengok gaji kena potong 15 peratus," katanya.

Tambah pemain cilik itu, denda yang dikenakan terhadapnya dilihat tidak adil dengan dia menegaskan bahawa Nafuzi juga pernah berbuat demikian, namun tidak berdepan apa-apa tindakan tatatertib.

Bagaimanapun, setakat ini, pihak pengurusan Terengganu FC masih memilih untuk berdiam diri terhadap luahan Faisal bagi menjawab akan kebenaran perkara itu.

Nafuzi-Faisal (1)

Faisal (kanan) mempertikaikan layanan yang diterimanya daripada TFC berbanding Nafuzi. Facebook/Terengganu FC

Pengurus TFC, Fadhil Wahab juga enggan memberikan respons lanjut berhubung perkara itu.

"Itu (komen Faisal) anda kena rujuk kepada pihak pengurusan kerana mereka yang bertanggungjawab. Mengenai gaji kena potong pula, saya pun tiada komen kerana ia juga perlu dirujuk kepada pihak pengurusan," katanya kepada Majoriti.

Difahamkan, gaji Faisal dipotong difahamkan ekoran kenyataan mengenai masa depannya yang bergantung kepada keberadaan Nafuzi bersama skuad untuk musim 2023, yang dikeluarkan pemain itu pada Oktober lalu.

Tambah Fadhil, dia juga mengambil maklum akan tindakan yang diambil ke atas pemain tersebut, namun masih enggan untuk memberi ulasan lanjut mengenai hal itu.

"Tahu, tapi apa-apa pun kena rujuk pihak pengurusan, itu sahaja komen daripada saya. Kerana kita perlu tengok semua perkara," katanya.

Dalam kempen Liga Super musim lalu, pemain kelahiran Mengkuang Titi, Penang itu menjadi antara pemain terbaik Sang Penyu apabila merekodkan enam jaringan dan sembilan bantuan gol dalam 20 aksi Liga Super.

Prestasi tersebut berjaya meletakkannya antara pemain terbaik apabila pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mencalonkannya dalam senarai pendek pemain terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022.

Cuma walaupun Terengganu bakal beraksi dalam kempen Piala AFC musim depan, Faisal memilih untuk meninggalkan pasukan tersebut untuk menyertai Selangor FC.

Sementara itu, bagi mendapatkan pendedahan lanjut daripada pihak pengurusan, Majoriti sedang mendapatkan respons daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC Sdn Bhd (TFCSB), Ab Rasid Jusoh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram