"KETUA Jurulatih, Nafuzi (Zain) pun buat kesalahan sama tetapi saya saja kena."
Demikian luahan penyerang kebangsaan, Faisal Halim ketika menjelaskan keadaan sebenar mengenai kenyataannya di laman sosial baru-baru ini.
Pada Jumaat lalu, pemain berusia 24 tahun itu membuat ciapan di laman Twitter miliknya dengan menggunakan tanda pagar #PulangkanHakSaya dan perkara terbabit seperti menunjukkan urusannya dengan bekas majikan, Terengganu FC (TFC) masih belum selesai.
Nama bekas ketua jurulatih skuad Sang Penyu itu dibangkitkan Faisal berikutan Nafuzi turut melakukan perkara yang sama iaitu mengeluarkan kenyataan lebih awal daripada pihak pengurusan, namun hanya dirinya sahaja mendapat tindakan.
Disebabkan itu, Faisal tidak berpuas hati apabila pihak kelab mengambil tindakan memotong gaji bulan terakhirnya sahaja tanpa memberi sebarang surat amaran terlebih dahulu.
"Benda ini dah simpan lama, tak nak juga dedah dengan media. Jika ingat balik kenyataan saya buat di Kuantan, Pahang yang saya kecewa dengan pihak pengurusan. Mereka potong gaji sebab saya keluarkan kenyataan itu.
"Mereka tak bagi surat amaran bagitau sebab apa pun. Coach Nafuzi pun buat kesalahan sama tapi saya saja kena. Saya mesej, WhatsApp, telefon semua tak jawab. Lepas seminggu baru dapat jawapan sebab CEO suruh," katanya ketika ditemui selepas aksi kedua Kumpulan B Harimau Malaya berdepan Laos dalam kempen Piala AFF 2022 pada Sabtu.
Bagaimanapun, Faisal tidak menafikan kesalahannya kerana mengeluarkan kenyataan tersebut, cuma tindakan pihak pengurusan yang memotong gaji terakhirnya sehingga 17 peratus adalah tidak munasabah.
"Saya mengaku salah tapi buat cara yang betul. Bila saya keluar TFC baru nak buat macam ini. Ini dah masalah peribadi, bukan persatuan. Benda dah habis tapi bila dah macam ni saya tak boleh tahan.
"Bukan RM1,000 ke RM2,000 tapi banyak. Ini hak saya, saya main demam-demam dulu bersama TFC tapi dibalas macam ini. Saya bawa TFC ke final bersama rakan-rakan. Jika nak potong gaji saya potong semasa kenyataan itu. Banyak potong sampai 17 percent. Gaji saya bukan banyak. Kenapa potong gaji terakhir," tambahnya.
Jelas Faisal, dia kini sedang menunggu surat tunjuk sebab daripada pihak pengurusan terlebih dahulu sebelum ambil tindakan selanjutnya iaitu melaporkan kepada Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).
"“Saya tunggu surat tunjuk sebab dan slip gaji daripada pihak pengurusan, selepas itu baru sahaja akan pergi ke PFAM dan niat saya memang nak ambil peguam. Saya tidak akan berdiam," katanya.
Meskipun dengan masalah yang melanda dirinya, Faisal seperti tidak terganggu dengan isu terbabit apabila berjaya tampil cemerlang dalam aksi berdepan Laos.
Ia rentetan Faisal menjaringkan dua gol pada minit ke-65 dan 68, sekali gus membantu Harimau Malaya menang 5-0. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram