Bukan setakat import Nigeria, Perak FC bakal ikat peledak Ghana


  • Podium
  • Sabtu, 24 Dis 2022

Isaac Oppong bermain di posisi sayap kiri dan boleh bertindak sebagai penyerang. — Agensi

SKUAD Seladang kini dalam proses melengkapkan barisan pemain untuk mengharungi cabaran Liga Super musim depan.

Ketika ini, pasukan kendalian jurulatih berpengalaman, Lim Teong Kim (LTK) difahamkan sedang dalam proses membawa masuk pemain import untuk memperkukuhkan bahagian serangan.

Pemerhati sukan, T. Avineshwaran menerusi satu ciapan di Twitter melaporkan penyerang dari Nigeria akan mengetuai serangan pasukan The Bos Gaurus (TBG).

"Difahamkan, seorang penyerang dari Nigeria akan mengetuai bahagian serangan Perak. Bagaimanapun, tidak banyak maklumat diperoleh berhubung rumours ini.

"Begitupun, pemain tersebut dikatakan pernah berkhidmat untuk beberapa kelab besar di Liga Afrika. Nampaknya import ketika ini, Sunday Afolabi bakal menjadi gandingan untuk menari meraikan gol pada musim depan," tulisnya.

photo1671803489

Namun begitu ada peminat yang berharap pisang tidak berbuah dua kali kerana mereka seolah-olah serik dengan import sebelum ini iaitu Nana Poku (kiri). — Agensi

Selain itu, timbul khabar angin mengatakan terdapat seorang lagi peledak dari Afrika dalam radar Perak FC.

Pemain yang dimaksudkan ialah Isaac Oppong, penyerang Asante Kotoko FC, sebuah kelab divisyen satu yang berpangkalan di Ghana.

Berdasarkan laman Transfermarkt.com, Isaac Oppong bermain di posisi sayap kiri dan boleh bertindak sebagai penyerang.

Pemain berusia 20 tahun kelahiran Ghana itu juga bermain untuk Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Afrika (Confederation of African Football).

Di sebalik keterujaan penyokong terhadap perkhabaran itu, rata-rata berharap pisang tidak berbuah dua kali kerana mereka seolah-olah serik dengan import sebelum ini iaitu Nana Poku.

"Nigeria ke Ghana ke, janji bukan Nana Poku sudah," kata seorang penyokong Perak FC, Khairul Rizal.

"Nana Poku tu berat bila berlari, tapi nasib juga ada yang dia score.

"Harap ni boleh jadi lipas kudung atas padang," kata Khalif Alif.

Seorang lagi penyokong, Rozaidi Ismail berkata, Teong Kim pastinya akan mengambil pemain yang boleh menjadi sandaran untuk membantu pasukan memperoleh kemenangan.

"Teong Kim memang akan ambil yang muda dan padu supaya boleh pakai lama.

"Import pun Perak akan pakai empat atau lima orang ke sahaja supaya pemain tempatan boleh menyerlah dalam pasukan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram