'Apa yang pelik?', Norizam perjelas 'senarai bocor' pemain tersingkir, ketua jurulatih TRW


  • Podium
  • Isnin, 19 Dis 2022

Rezal (depan, berbaju hitam) akan kekal bersama skuad TRW sebagai penolong jurulatih. — Facebook

BUKAN suatu perkara yang pelik jika proses menandatangani barisan pemain dibuat sebelum kelab mendapatkan tandatangan ketua jurulatih bagi saingan musim 2023.

Penjelasan itu dibuat oleh pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman yang berpendapat proses itu merupakan perkara normal dalam kancah bola sepak tempatan.

Ini selepas ada penyokong skuad The Red Warriors (TRW) yang meluahkan rasa pelik dengan proses pemilihan pemain yang dilakukan pihak pengurusan memandangkan pasukan itu masih lagi tidak memiliki ketua jurulatih.

"Penyokong kena faham, ketua jurulatih ni datang dan pergi, kena faham juga yang mereka bertanggungjawab mencorakkan permainan berdasarkan permintaan pemilik dan pengurusan kelab.

"Jadi, tidak semestinya ketua jurulatih kena masuk dan bawa pemain-pemain dia. Kelab pilih siapa pun menyandang jawatan itu, dia kena mencorakkan mengikut kepakarannya," kata Norizam kepada Majoriti.

1866956

Pemain tengah TRW, Jasmir Mehat antara salah seorang pemain yang digugurkan daripada TRW bagi musim depan. — Facebook

Norizam menegaskan bahawa ketua jurulatih TRW perlu menyesuaikan diri dengan pengurusan kelab dan barisan pemain baharu yang sudah dan bakal ditandatangani untuk menyiapkan pasukan menghadapi saingan liga musim depan.

"Sama ada pemain masuk dulu atau jurulatih masuk dulu bukan suatu isu besar, kelab sudah ada pengurusan bagi memilih mana yang sesuai.

"Kelab ada bekas ketua jurulatih, Rezal Zambery yang saya jadikan penolong jurulatih musim depan, ada pengarah teknikal...ini maksudnya kelab sudah berjalan dan beroperasi.

"Saya ingin tekankan jurulatih yang kita ambil nanti, dia perlu menyesuaikan diri dengan kelab dan bukan sebaliknya," kata Norizam.

314711249_8282009161869518_2912061334251836330_n

Kira-kira 15 pemain disingkirkan TRW untuk memberi laluan kepada kemasukan pemain baharu. — Facebook

Mengulas mengenai penyingkiran kira-kira 15 pemain TRW, Norizam berkata, kelab perlu mengenal pasti pemain yang lebih baik untuk menghadapi saingan lebih kompetitif di Liga Super musim.

"Kita ada proses evaluasi terhadap pemilihan pemain, semua kelab pun akan buat perkara sama. Mana yang kita rasa sesuai dan kena dengan cara, kita akan kekalkan.

"Yang mana tak sesuai tu bukan kata mereka tak bagus, tapi kita nak ambil yang lebih baik. Ini perkara biasa dalam bola...semua team pun ada lepaskan pemain masing-masing apabila tiba masanya.

"Lagipun, sama ada mereka berhijrah ke kelab baharu atau kekal bersama kelab sedia ada, perkara ini mereka pernah lalui dan faham.

Untuk rekod, selepas hampir lima musim beraksi di divisyen kedua Liga Malaysia, Kelantan FC akan membuat kemunculan di tier satu liga pada musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram