[VIDEO] Bakal import TRW tepati kriteria, terima gelaran Ghaddar 2.0


  • Podium
  • Isnin, 12 Dis 2022

Kontrak Zivzivadze bersama pasukannya sudah tamat pada 30 Jun lalu. — Agensi

KETIKA pasukan lain sibuk mempersiapkan pasukan masing-masing dengan melakukan rombakan pemain secara besar-besaran dan ada juga yang mengumumkan ketua jurulatih baharu, Kelantan FC pula mempunyai cara tersendiri untuk tampil relevan pada musim depan.

Menerusi perkongsian di laman Facebook pemiliknya, Norizam Tukiman berkata, skuad The Red Warriors (TRW) akan kekal sebagai pasukan underdog dengan bajet biasa tanpa bantuan kerajaan negeri pada musim depan.

Bukan itu sahaja, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham memberitahu pasukannya hanya akan mengekalkan dua pemain import iaitu Kervens Belfort dan Nathanael Siringoringo yang sebelum ini dipinjamkan kepada pasukan Liga 1 Indonesia, Dewa United.

Ini kerana pemain import itu akan dipanggil semula untuk beraksi bersama TRW pada musim depan.

Secara tidak langsung hantaran itu juga memberi maksud bahawa tiga lagi pemain import musim ini iaitu Felipe Hereda, Kenta Hara dan Nixon Guylherme dilepaskan oleh pasukan Kelantan.

Zamsaham juga memberi gambaran bahawa pemain import yang akan dibawa masuk pada musim depan lebih berkualiti dan ada di antaranya pernah memiliki penampilan antarabangsa bersama pasukan kebangsaan masing-masing.

Selepas sahaja mendapat petunjuk yang diberikan oleh pemilik Kelantan itu, timbul khabar angin mengatakan bahawa seorang pemain dari pasukan kebangsaan Georgia bakal meyarung jersi skuad berpangkalan di Pantai Timur tersebut.

isi

Zivzivadze merupakan pemain kelahiran Georgia. — Agensi

Pemain yang dimaksudkan Budu Zivzivadze iaitu penyerang dari kelab Liga Utama Hungary, Fehervar FC dan dia juga sempat dipinjamkan ke pasukan Ujpest FC pada musim ini bagi membantu memperkukuh bahagian serangan pasukan itu.

Pemain yang boleh berkemahiran dalam menggunakan kedua-dua kakinya itu berjaya mencetak 11 gol, dengan 6 daripadanya hadir dalam kejohanan Liga Juara-Juara EUFA.

Bukan itu sahaja, pemain berusia 28 tahun itu juga merupakan pemain pasukan kebangsaan Georgia sejak 2011 lagi yang mana dia bermain untuk pasukan Bawah-17 sehingga dinaikkan pangkat ke pasukan senior.

Zivzivadze menjaringkan gol pertamanya untuk pasukan kebangsaan senior pada 25 Mac 2022, dia menjadi penjaring tunggal dan sekali gus membantu negaranya memenangi perlawanan persahabatan 1-0 menentang Bosnia dan Herzegovina.

Menerusi video perkongsian antara koleksi jaringan Zivzivadze, penyokong skuad TRW mulai menyamakan pemain tersebut dengan legenda import Kelantan iaitu Mohammad Ghaddar.

"Ada gaya Ghaddar 2.0," komen penyokong Kelantan FC, Nur Aleesya.

"Kiri kanan kaki hebat, kemahiran padu ini," tulis penyokong TRW, Mohd Yusoff.

"Mesin gol akhirnya. Nama Budu sudah sinonim dengan Kelantan. Cantik dah itu," komen penyokong Faizul Deraman yang bersetuju dengan idea membawa masuk pemain berkenaan.

Pada musim 2012, tonggak import dari Lubnan itu berjaya membantu pasukan Kelantan menjulang treble untuk pertama kalinya dalam sejarah bola sepak TRW.

ghaddar

Ghaddar boleh dikatakan pemain import cemerlang skuad TRW. — Agensi

Malah, mesin pencetak Kelantan itu juga menjaringkan 21 gol buat Kelantan FC pada musim tersebut.

Sekiranya kelab yang menamatkan saingan Liga Perdana 2022 selaku naib juara itu bejaya membawa masuk Zivzivadze pasti boleh melunaskan rindu penyokong terhadap bekas tonggak import mereka itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram