POSISI ketua jurulatih Kelantan FC semakin menjadi tanda tanya dalam kalangan penyokong terutamanya selepas pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman bertanyakan pendapat jika kelab itu dikemudi jurulatih import.
Norizam atau dikenali sebagai Zamsaham secara terbuka di Facebook miliknya meminta pandangan penyokong jika Kelantan FC memilih jurulatih dari Korea Selatan bagi memimpin The Red Wariors (TRW) Liga Super musim depan.
Rentetan dari hantaran usahawan tersebut, ramai penyokong yang memberikan respons positif dan rata-ratanya menunjukkan minat mereka terhadap DNA Korea Selatan.
Mana tidaknya, pengendali dari Korea Selatan sememangnya terbukti kehebatannya dengan beberapa jurulatih daripada negara itu melatih beberapa kebangsaan Asia Tenggara seperti Kim Pan-gon (Malaysia), Shin Tae-yong (Indonesia) dan Park Hang-seo (Vietnam).
Jika benar Zamsaham serius ingin membawa masuk jurulatih dari Korea Selatan itu, terdapat beberapa nama yang dilihat sesuai untuk mengemudi pasukan berpangkalan di Pantai Timur itu:
1) Kim Hak-bum
Hak-bum pernah membantu pasukan B-23 memenangi pingat emas Sukan Asia 2018.
Kim Hak-bum merupakan bekas ketua jurulatih skuad Bawah 23 (B23) Korea Selatan yang mana sebelum ini dia bejaya membantu pasukan tersebut membantu pasukan tersebut memenangi pingat emas Sukan Asia 2018.
Sebelum melatih pasukan kebangsaan Korea itu selama tiga tahun, jurulatih berusia 62 tahun itu juga pernah mengendali beberapa kelab di negaranya dan di antaranya ialah Gwangju FC (2017), Seongnam FC (2014-2016) dan Gangwon FC (2012-2013).
Selain mempunyai rekod cemerlang melatih beberapa kelab, Hak-bum juga dikenali sebagai jurulatih yang mengutamakan disiplin tinggi.
Berdasarkan laman Transfermarkt, Kelantan FC dilihat berpeluang untuk memburu khidmat Hak-bum kerana dia kini tidak terikat dengan mana-mana kelab.
Bukan itu sahaja, Hak-bum sebelum ini juga pernah dikaitkan untuk melatih Harimau Malaya.
2) Kim Dong-jin
Dong-jin sewaktu membantu pasukan itu memenangi kejuaraan Liga Perdana Hong Kong.
Kim Dong-jin mempunyai pengalaman sebagai penolong jurulatih kelab Liga Perdana Hong Kong, Kitchee SC dan dia juga pernah menyandang sebagai pengendali kelab belia pasukan tersebut.
Mula dilantik sebagai pembantu ketua jurulatih pada musim 2019, pengendali berusia 40 tahun itu berjaya membantu pasukan tersebut memenangi kejuaraan Liga Perdana Hong Kong bagi musim 2019-2020 dan 2020-2021.
Dong-jin sebelum ini merupakan antara nama disebut-sebut untuk mengisi jawatan jurulatih skuad bawah B-23 bersama Hak-bum dan jurulatih B-19 negara, Hassan Sazali Waras.
Namun, jika hasratnya sebelum ini mengatakan dia mahu untuk melebarkan sayap kejurulatihannya di rantau Asia Tenggara, Kelantan FC dilihat sebagai destinasi yang tepat dan sesuai untuk menguji kemampuannya sebagai jurulatih.
Selain diterima penyokong TRW, sentuhan Dong-jin juga boleh mengubah kemampuan pasukan yang ketika ini masih tidak mempunyai gaya permainan menarik.
3) Kim Eun-jung
Eun-jung pernah bertugas sebagai penolong ketua jurulatih Korea Selatan B-23.
Kim Eun-jung seorang jurulatih yang mempunyai banyak pengalaman dalam melatih pemain-pemain muda di Korea Selatan.
Ini kerana jurulatih berusia 43 tahun ini banyak menghabiskan karier jurulatihnya bersama skuad muda kebangsaan Korea Selatan.
Sejak 2017, Eun-jung mula dilantik sebagai penolong ketua jurulatih Korea Selatan B-23 bersama beberapa jurulatih ternama Korea seperti Kim Bong-gil, Hak-bum dan Hwang Sun-hong.
Menurut laman sesawang Transfermarkt, pada 2021, Eun-jung dilantik menjadi Ketua Jurulatih Korea Selatan B18, B19 dan B20.
Jika Kelantan berniat untuk melantik jurulatih dari Korea Selatan, Eun-jung merupakan individu yang sesuai untuk menggarap bakat muda kelab itu selain mampu melahirkan pemain junior berkualiti untuk dijual ke kelab lain
Dengan cara ini, pastinya Zamsaham gembira dengan pelaburan yang dibuat terhadap kelab itu apabila pasukannya mampu melahirkan produk pemain yang bagus dan memiliki pulangan setimpal dari segi pasaran pemain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram