MISI pencarian pengendali Kelantan untuk musim 2023 masih diteruskan oleh pemilik Kelantan Football Club (FC), Norizam Tukiman sebelum pasukan itu memuktamatkan siapa yang bakal memimpin The Red Warriors (TRW) pada saingan Liga Malaysia (Liga M) tahun depan.
Pencarian itu bermula selepas kelab berpangkalan di Pantai Timur itu memutuskan untuk tidak mengekalkan Rezal Zambery Yahya sebagai pengendali Kelantan.
Jika sebelum ini, media melaporkan bahawa usahawan itu menyatakan hasratnya untuk mendapatkan bekas ketua jurulatih Petaling Jaya (PJ) City FC P Maniam.
Selain Kelantan, Maniam turut dikaitkan dengan beberapa kelab Liga Super lain.
Menurutnya, perkara itu sudah dibincangan namun sehingga kini keputusan rasmi masih belum dibuat oleh pihak pengurusan Kelantan.
“Berkenaan ketua jurulatih P Maniam, seperti saya beritahu semua masih dalam perbincangan. Bila dah rasmi saya akan umumkan. Kita masih buat pilihan,” tulisnya pada ruangan komen Facebook miliknya.
Selain daripada pengendali berusia 54 tahun itu, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham menyatakan hasrat untuk mengambil ketua jurulatih dari Korea Selatan.
“Kalau Head Coach Korea okay? Minta pandangan ikhlas tuan-tuan sekalian,” tulisnya dalam satu kenyataan di laman Facebook pada Selasa.
Hantaran dari pemilik Kelantan itu mendapat respons positif daripada penyokong TRW, mereka rata-ratanya percaya dengan sentuhan dari DNA Korea Selatan untuk membimbing pasukan Kelantan.
Perkara itu dapat dibuktikan dengan menyaksikan kejayaan pengendali dari Korea Selatan dalam membimbing beberapa negara Asia termasuklah Malaysia iaitu Kim Pan-gon.
Selepas dinobatkan naib juara pada Piala Raja Thai, skuad kendalian Pan-gon berada di kedudukan ke-146 dunia berbanding 148 sebelum ini.
Susulan kepercayaan penyokong terhadap DNA Korea Selatan, mereka mencadangkan agar pengendali Vietnam, Park Hang-seo dibawa masuk untuk mengendalikan Kelantan.
Hang-seo mulai melatih pasukan Vietnam pada 2017. — Agensi
Dilaporkan, Hang-seo secara rasmi tidak memperbaharui kontraknya bersama pasukan kebangsaan Vietnam.
Dia hanya mencapai persetujuan bersama Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) untuk meneruskan kontrak sehingga 31 Januari 2023 iaitu selepas tamatnya kempen Piala AFF yang bermula bulan depan.
“Ambil bekas jurulatih Vietnam, Park Hang-Seo ada bukti bawa Vietnam keluar dari ranking 100 lebih ke 96. Kalau bawa kelab tidak tahu lah, yang penting kena cari jurulatih yang para pemain sanggup berlari demi ketua jurulatih,” komen penyokong Kelantan, T Aiman T Iskandar.
“Park Hang-seo nampak ada di Kota Bharu dah ini,” kata penyokong TRW, Muhd Azhar.
“Bos, saya cadang bos jumpa Kim Pan-gon minta pendapat dan cadangan dari dia. Jadi pembangunan pasukan selari dengan misi pengendali Harimau Malaya untuk jangka masa pendek,” komen penyokong, Mohd Yazid. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram