SELEPAS gagal mengekalkan khidmat penyerang kelahiran Brazil, Lucas Silva untuk musim depan, Penang FC pasti sedang bertungkus lumus untuk mendapatkan penggempur pasukan baharu.
Skuad Harimau Kumbang yang difahamkan bakal menggunakan khidmat jurulatih berusia 46 tahun, Manzoor Azwira Abdul Wahid untuk musim akan datang sememangnya memerlukan penyerang berkualiti.
Musim ini, ketumpulan jentera serangan dapat disaksikan apabila mereka hanya menjaringkan 22 gol dalam 22 aksi Liga Super, yang mana menjadi salah satu punca kemerosotan pasukan.
Daripada jumlah itu, enam daripadanya disumbangkan daripada Lucas meskipun dia hanya menyertai Penang FC ketika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia.
Oleh itu, kehilangannya pasti dirasai barisan kejurulatihan dan penyokong yang sememangnya mengharapkan pasukan Utara tanah air itu dapat bersaing dengan lebih baik musim depan.
Lucas merupakan pemain terbaik Penang FC selepas menjaringkan enam gol Liga Super. — Facebook/Penang FC
Ketika ini, ura-ura di media sosial mengatakan skuad Harimau Kumbang sedang cuba mendapatkan seorang pemain kelahiran Brazil, Giovane Gomez untuk menggantikan Lucas.
Pemain berusia 27 tahun itu sebelum ini pernah beraksi bersama Melaka United FC pada 2021 dengan berjaya mengumpul lapan penampilan serta menjaringkan satu gol dalam saingan liga.
Tahun ini, Gomez sedang menabur bakti bersama pasukan kerdil di negara kelahirannya, SER Caxias do Sul yang berada dalam divisyen keempat Liga Brazil.
Berita itu seakan-akan sudah disahkan dengan pihak pengurusan pasukan memberikan ucapan penghargaan kepada pemain itu menerusi laman rasmi Facebook selepas beberapa tahun mengerah keringat bersama pasukan.
Namun, perkhabaran itu sepertinya tidak menggembirakan penyokong Penang FC apabila ruangan komen menyaksikan Gomez bukanlah satu kelibat yang bakal dirindui di SER Caxias do Sul.
Gomez (kiri) pernah bermain bersama Melaka United untuk semusim.
"Adakah dia ada bermain bersama pasukan musim ini?" soal Edvilson Grzybowski Chaves.
"Dia sudah tidak beraksi untuk dua musim, semoga berjaya dan harapnya lebih baik," kata Marco Soares.
Luahan perasaan itu sepertinya merobek hati penyokong Harimau Kumbang yang sebelum ini sudah tidak sabar untuk melihat sumbangan Gomez dalam landskap bola sepak tanah air.
Laman penyokong Penang FC, Penang Brotherhood berpendapat mereka seakan-akan ditipu dengan reputasi pemain itu yang kononnya merupakan penyerang berbisa.
"Kalau baca komen kelab lamanya, kita seperti akan dipermainkan," katanya.
Seorang penyokong, Alif Nita berasakan pihak pengurusan Harimau Kumbang sepertinya tidak melakukan pemerhatian teliti ketika bercadang untuk membawanya masuk.
"Tak guna betul, main ambil sahaja janji dari Brazil. Betul tidak boleh pakai pasukan pemerhati bakat Penang ni, hahahaha," katanya.
Bagi Muhammad Ihsan pula, dia juga berasa kecewa dengan luahan daripada penyokong Brazil itu dan menjangkakan pertikaman lidah antara mereka dan pasukan ketika musim bermula.
"Betul tidak boleh pakai pihak pengurusan ni, main ambil sahaja mana yang ada. Bila kena tegur dan marah dengan penyokong, dia akan suruh admin media sosial menegur semula kami," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram