JENDELA perpindahan Liga Malaysia yang baru sahaja dibuka 1 Disember lalu sudah memberikan pelbagai berita mengejutkan kepada penyokong pasukan masing-masing.
Selain giat membawa masuk wajah-wajah baharu, beberapa kelab turut dilihat sibuk dalam memastikan skuad yang bakal diturunkan musim depan lebih bersedia dan berkualiti.
Jadi, tidak hairanlah apabila peminat tegar bola sepak tempatan sering disajikan perkhabaran mengenai beberapa pasukan yang melakukan rombakan secara besar-besaran dengan menyingkirkan pemain.
Pasukan tercorot Liga Super, Penang FC menjadi antara kelab yang tidak menunggu lama untuk mempersiapkan pasukan apabila mengumumkan pemergian beberapa pemain.
Antara pemain yang disahkan tidak akan bersama skuad Harimau Kumbang musim depan ialah penjaga gol utama, Hafizul Hakim dan penyerang import, Lucas Silva.
Keputusan itu dilihat sukar diterima penyokong dan luahan kekecewaan itu memenuhi ruang media sosial apabila mereka berasakan kedua-dua pemain tersebut cukup penting buat Penang FC musim ini.
Namun, baru-baru ini, mereka sekali lagi dilanda badai kegelisahan selepas pasukan Utara tanah air itu bakal kehilangan khidmat pemain muda, T Saravanan.
Saravanan (kanan) menjadi antara pemain terbaik Penang FC musim ini. — Facebook/Penang FC
Selepas dipinjamkan daripada Selangor FC, ubi muda berusia 21 tahun itu tidak perlu menunggu lama untuk memperkenalkan dirinya di hadapan penyokong skuad Harimau Kumbang.
Dalam saingan Liga Super, Saravanan diturunkan sebanyak 18 kali dengan hampir kesemuanya merupakan aksi bersama kesebelasan utama, sekali gus membuktikan kepentingannya dalam pasukan.
Sumbangannya di hadapan pintu gol juga tidak boleh dinafikan apabila berjaya mencatatan tiga gol dan satu bantuan bersama pasukan dengan prestasi mengecewakan itu.
Bagi penyokong pula, statistik itu bukan menjadi ukuran, sebaliknya mereka mendapati Saravanan sering beraksi dengan kesungguhan serta terbuka untuk mencuba sesuatu yang baharu.
Ketika berada di bawah kendalian Tomas Trucha, Saravanan kerap diturunkan sebagai penyerang kiri dalam membantu mencipta gerakan dengan kepantasan dimilikinya.
Tetapi, selepas kehadiran Datuk Zainal Abidin Hassan, pemain tersebut dipindahkan ke posisi kanan bagi memberi peluang kepada rakan sepasukan, Adib Raop.
Bagaimanapun, perubahan itu seakan-akan tidak memberi kesan negatif kepadanya apabila dia masih beraksi dengan cemerlang selain sering terlibat dari segi serangan mahupun pertahanan.
Adakah Saravanan akan dikekalkan dalam skuad simpanan atau bakal bersama pasukan utama musim depan? — Instagram/saravanan_2602
Kehilangannya musim depan pasti akan dirasai skuad Harimau Kumbang apabila Selangor FC difahamkan berminat untuk meletakkannya di bawah kendalian ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe.
Tinjauan di media sosial mendapati pelbagai luahan kekecewaan daripada penyokong Penang FC meskipun pada awalnya kurang yakin dengan masa depan Saravanan.
"Penang ni dah macam kelab asah bakat pemain pula, sebelum ni Quentin Cheng pun sama. Selepas sahaja mereka jadi lebih baik, akan diambil semula," kata Lokman Hakim.
"Aduhai, aku ingat Penang FC boleh dapatkan dia tapi takpelah, bukan rezeki kita. Mungkin ada yang lebih baik akan sertai pasukan kita nanti," kata Noaa Nri.
"Salah seorang pemain yang paling saya suka. Untunglah Cheng Hoe dan Selangor FC kerana dapatkan dia semula," kata Chew Kok Pin.
"Alamak, sayangnya kerana pada aku, dia ni cukup bagus setiap kali diturunkan sebagai pemain sayap dan juga boleh mendapatkan gol," kata Muhammad Firdaus Samsudin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram