Baru khabar angin, penyokong Kijang Hijau dah label Thomas Trucha 'hampeh'


  • Podium
  • Khamis, 08 Dis 2022

Terdapat tuduhan yang mengatakan Trucha mensabotaj pasukan Penang FC pada musim lalu.

PASUKAN yang sedang mencabar kejuaraan Liga Perdana, Kelantan United FC (KUFC) dijangka menerima sentuhan jurulatih asing bagi mengemudi Skuad Kijang Hijau untuk mengharungi saingan Liga Super musim depan.

Terdapat khabar angin bekas pengendali skuad Penang FC, Thomas Trucha mungkin akan dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kelab yang menduduki tangga kelima carta Liga Perdana Malaysia musim ini .

Laman penyokong All About TRW dalam satu hantaran Facebook memaklumkan jurulatih dari Republik Czech itu dikatakan dalam rundingan fasa akhir untuk mengendalikan KUFC bagi musim 2023.

Bagaimanapun perkhabaran itu dilihat kurang disenangi oleh sebahagian penyokong Kelantan yang menganggap Trucha bukan calon sesuai bagi jawatan berkenaan.

Ini mungkin kerana kontroversi yang menyelubungi jurulatih berusia 51 tahun ketika dia berkhidmat dengan Penang FC.

kelantan united

Pada musim ini, KUFC menggunakan khidmat jurulatih tempatan iaitu Syamsul Saad dan dibantu Penolong Ketua Jurulatih KUFC, Sazami Safii. — Facebook

Trucha didakwa kononnya sengaja menjatuhkan skuad Harimau Kumbang selepas dia mungkin tidak berpuas hati dengan pengurusan kelab.

Perkara itu dipercayai tercetus selepas Penang FC membuat pengumuman terlalu awal berhubung pelantikan Manzoor Azwira sebagai ketua jurulatih pada tahun 2023.

Di ruangan komen, rata-rata penyokong Kelantan menzahirkan rasa tidak puas hati mereka andai Trucha benar-benar dilantik sebagai jurulatih.

"Hampeh," kata seorang penyokong Kelantan United FC, Poklie State terhadap perkongsian rumours itu.

"Tohok sajo (Buang saja)," kata Mohd Kamerul Amir pula.

Seorang lagi penyokong, Okey Betta House berkata, Trucha dikhuatiri akan menerapkan lebih banyak taktikal bertahan dalam skuad Kelantan.

"Taktikal parking bas (bertahan) laa," katanya.

Sebelum ini, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berkata, dia sedang mempertimbangkan ketua jurulatih dari beberapa negara Eropah atau Korea Selatan dan Jepun.

Bagi KUFC pula, terdapat juga desas desus mengatakan ada jurulatih asing yang bakal mengemudi skuad kedua Kelantan itu.

Pada musim ini, KUFC menggunakan khidmat jurulatih tempatan iaitu Syamsul Saad dan dibantu Penolong Ketua Jurulatih KUFC, Sazami Safii. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram