Saham bintang Piala Dunia kian mencanak, Kedah ikut jejak 3 kelab Liga M pikat import Maghribi


  • Podium
  • Selasa, 13 Dis 2022

Beberapa kelab gergasi Eropah semakin menunjukkan minat untuk merekrut bintang Maghribi ekoran prestasi cemerlang di Piala Dunia Qatar. — Agensi

PIALA Dunia 2022 yang berlangsung di Qatar menyaksikan pelbagai kejutan menarik terjadi dalam kalangan 32 pasukan bertanding. Paling mengujakan apabila edisi ke-22 itu menyaksikan banyak skuad gergasi tewas di tangan pasukan underdog.

Dalam kalangan bukan pasukan pilihan itu, skuad kebangsaan Maghribi tampil memberikan persembahan yang cukup cemerlang sehingga berjaya menewaskan Belgium, Sepanyol dan menumpaskan Portugal 1-0 pada peringkat suku akhir Piala Dunia.

Kejayaan tersebut menjadi lebih bersejarah apabila Maghribi menjadi pasukan Afrika pertama yang berjaya menempah slot ke pusingan separuh akhir Piala Dunia.

Selepas mempamerkan aksi cemerlang pada saingan Piala Dunia, beberapa pemain skuad The Atlas Lions itu menjadi sebutan sehingga difahamkan ramai kelab gergasi Eropah semakin menunjukkan minat untuk merekrut bintang negara tersebut.

WhatsApp Image 2022-12-12 at 8.32.17 PM

Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar sedang mempertimbangkan seorang pemain Maghribi bagi memperkasa KDA FC pada musim depan.

Tidak ingin terlepas peluang untuk mengintai bintang bola sepak dari Maghribi, Kedah Darul Aman (KDA) FC difahamkan sedang memantau seorang pemain dari Afrika Utara tersebut.

Perkara itu mulai tersebar apabila pemilik saham terbesar skuad Sang Kenari, Daud Bakar menyatakan hasratnya menerusi media sosial miliknya bahawa beliau sedang mempertimbangkan seorang pemain Maghribi bagi memperkasakan KDA FC pada musim depan.

"Sejak dua bulan yang lalu, saya sudah cuba menjejaki seorang pemain Morocco (Maghribi) yang pernah beraksi di Qatar. Ada beberapa proses yang saya patut buat untuk pastikan pemain ini benar-benar fit (cergas) dan layak bermain di Kedah.

"Saya memang rapat dengan rakan-rakan di Morocco yang mengendalikan beberapa akademi bola sepak di sana. Saya pun ada syarikat Amanie di Casablanca, Morocco bersama dengan rakan kongsi," katanya.

Sekiranya skuad Hijau Kuning berjaya merekrut pemain import dari Maghribi, Kedah bakal mengikut jejak langkah Selangor, Penang dan Sri Pahang yang pernah membawa masuk bintang dari Afrika Utara itu ke Liga Malaysia (Liga M).

Berikut Majoriti menyenaraikan tiga bintang import Maghribi yang pernah mewarnai Liga M sebelum ini:

1) Fidadi Mohamed (Selangor FA)

WhatsApp Image 2022-12-12 at 8.29.27 PM

Fidadi sewaktu menyarung jersi Selangor FA. — Facebook

Bekas tonggak import Selangor FA, Fidadi Mohamed menjadi antara pemain terawal dari Maghribi yang beraksi di Liga M dan sebelum itu pemain berkenaan baraksi bersama kelab Arab Saudi, Ettifaq FC serta kelab Magribi, OC Khouribuga.

Fidadi mula berkhidmat untuk pasukan Selangor pada 1998 dan dia menjadi antara penyerang utama skuad Gergasi Merah sehingga musim 2001 bersama dengan pemain tempatan seperti P. Maniam, Adnan Azman dan Rusdi Suparman.

Selepas bermain hampir empat musim bersama Selangor, Fidadi yang kini berusia 54 tahun itu memilih kelab negara Male, Victory dan pasukan itu merupakan kelab terakhirnya sebelum menceburkan diri sebagai jurulatih.

Sehingga 2014, dia melatih pasukan bawah 12 tahun kelab Qatar, Al Shamal.

2) Merzagua Abderrazak (Penang FA)

WhatsApp Image 2022-12-12 at 8.29.25 PM

Merzagua sehingga kini masih mengikuti perkembangkan Penang FC. — Facebook

Penyokong skuad Harimau Kumbang pasti tidak melupakan pemain yang dibawa masuk pada 1996 dari Maghribi dan pernah membawa pasukan Pulau Pinang menjuarai Liga Perdana pada 1998.

Digelar 'Great Merz' oleh penyokong setia Harimau Kumbang, Merzagua digambarkan sebagai salah seorang pemain bola sepak import terhebat yang pernah bermain di Malaysia dan Asia Tenggara.

Selepas hampir 12 tahun meninggalkan Harimau Kumbang, Merzagua kemudiannya kembali ke pasukan berpangkalan di Utara tanah air itu sebagai jurulatih yang mana pihak pengurusan melantiknya sebagai pengendali baharu pada musim 2012.

Di bawah kendalian Merzagua, Pulau Pinang beraksi dengan sangat baik, malah berjaya menjuarai saingan Piala FAM seterusnya layak untuk beraksi di Liga Perdana pada musim 2014.

Namun, atas masalah lesen kejurulatih, Merzagua yang kini berusia 55 tahun itu akhirnya terpaksa pulang ke Maghribi untuk mendapatkan lesen sijil ‘A’ dan tempatnya diambil alih oleh K. Devan selepas itu.

3) Mohamed Borji (Pahang FA)

WhatsApp Image 2022-12-12 at 8.29.24 PM

Borji mulai menyarung jersi Pahang pada musim 2013. — Facebook

Pada penghujung musim 2012, Pahang FA mengumumkan akan membawa masuk Mohamed Borji bagi menguatkan jentera serangan pasukan Tok Gajah bagi mengharungi Liga Super musim 2013.

Sebelum memasuki skuad Tok Gajah, Borji yang miliki ketinggian 186 sentimeter itu mempunyai pengalaman beraksi dalam Divisyen Satu di Maghribi dan kemahirannya pada mulanya diharap dapat membantu pasukan Pahang.

Namun begitu, jodoh Borji tidak lama apabila Pahang memutuskan untuk menghentikan kontraknya pada 2013 berikutan prestasi buruknya, namun pemain itu membuat aduan kepada FIFA selepas tidak mendapat wang pampasan.

FIFA kemudiannya mengancam PBNP untuk diturunkan 'pangkat' beraksi di Liga Perdana seandainya masih gagal melunaskan tunggakan itu.

Bagaimanapun, selepas beberapa siri perbincangan, Pahang akhirnya terselamat selepas FAM mendahulukan pembayaran RM537,435 selain melangsaikan denda RM73,997 kepada FIFA gara-gara Borji. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram