Nasib 'tanker' TFC undang tanda tanya, khabarnya skuad Penyu dah jumpa pengganti


  • Podium
  • Selasa, 06 Dis 2022

Diakite dikaitkan dengan beberapa pasukan Liga Super dan terdapat juga beberapa kelab luar negara memburu khidmatnya. — Facebook/TFC

KEPUTUSAN pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain untuk tidak menandatangani kontrak lanjutan selama setahun yang ditawarkan oleh pengurusan pasukan tersebut jelas membawa banyak kesan kepada skuad Penyu.

Ia dapat dilihat selepas beberapa pemain utama pasukan Terengganu seperti pemain sayap lincah, Faisal Halim; arkitek pasukan, Manuel Ott dan juga penyerang, Kpah Sherma dikhabarkan akan turut 'angkat kaki' dari pasukan berkenaan.

Turut terpalit dengan isu penghijrahan adalah pertahanan kental TFC, Pape Diakite apabila ramai penyokong masih tertanya-tanya sama ada pemain berkenaan akan kekal bersama Terengganu atau sebaliknya pada musim depan.

Tampil menjawab persoalan daripada peminatnya itu, pemain import dari Senegal berkenaan membalas komen dari seorang pemilik akaun di Instagaram yang menginginkannya kekal di bumi Darul Iman.

Menurut pemain berusia 29 tahun itu, meskipun dia berkeinginan untuk kekal bersama pasukan berkenaan namun segala keputusan akhir bergantung pada pihak pengurusan.

"Anda semua kena faham saya tidak nampak tawaran daripada TFC. Saya rasa semuanya jelas sekarang. Jadi ianya bukan saya. Terima kasih,” jawab Diakite mengenai persoalan daripada penyokong.

diakite

Diakite menjelaskan bahawa pihak TFC masih belum menawarkan sebarang kontrak kepadanya. — Facebook/TFC

Jika benar Diakite akan meninggalkan Terengganu, kehilangannya akan dirasai kerana 'tanker' TFC itu memainkan peranan dalam membantu naib juara Liga Super dan naib juara Piala FA.

Sebelum ini pemain yang memakai jersi bernombor 44 itu dikaitkan dengan beberapa pasukan Liga Super dan terdapat juga beberapa kelab luar negara memburu khidmatnya.

Susulan penjelasan daripada Diakite itu, penyokong Terengganu sudah menemui pengganti pemain berketinggian 1.93 meter berkenaan sekiranya kontraknya tidak dilanjutkan bersama TFC.

Pemain yang dikatakan akan menggantikan tonggak pertahanan itu adalah dari bintang import dari kelab Croatia, NK BSK Bijelo Brdo iaitu Marko Dobrijevic.

Marko yang kini bermain bersama kelab Liga Utama Croatia itu berhasil meledak dua gol dalam 13 perlawanan bersama pasukannya walaupun hanya berperanan sebagai pemain pertahanan.

marko

Marko masih terikat dengan kelabnya sehingga musim 2023. — Agensi

Malah, kehebatan pemain berketinggian 2.02 meter itu juga semakin menyerlah apabila Marko mendapat panggilan kebangsaan daripada pasukan Serbia B21.

Dengan usianya yang muda iaitu 20 tahun, Marko dilihat boleh menjadi pelaburan jangka masa panjang untuk TFC, sekali gus menggantikan posisi Diakite.

Namun begitu, jika pasukan berpangkalan di Pantai Timur itu perlu membayar lebih kepada kelabnya sekiranya mereka ingin menggunakan khidmatnya.

Hal ini disebabkan, Marko masih terikat dengan kontrak bersama sehingga 30 Jun 2023.

"Tinggi sungguh pemain ini, untuk musim ini dia dah score dua gol, boleh kaki kiri dan dan kaki kanan, muda pun muda lagi," komen penyokong Iqie Muhammad.

"Pertahanan tinggi boleh clear bola set pis," tulis penyokong TFC, Mohd Zaiza.

Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada sebarang pengumuman rasmi berhubung status Diakite dan pemain dari Serbia itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram