Tiga sebab TFC bakal terkena badi Penang FC musim depan


  • Podium
  • Isnin, 05 Dis 2022

Terengganu FC diramal berdepan pergelutan dengan prestasi tersendiri musim depan. — Facebook/Terengganu FC

NAIB juara Liga Super, Terengganu FC jelas mengharungi satu kempen yang cemerlang musim ini dengan tidak henti-henti memberi cabaran kepada pesaing dan pihak lawan.

Di samping memiliki skuad yang berkualiti, kehadiran Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih turut menghadirkan satu tahun yang sukar dilupakan kepada penyokong.

Hal itu dibuktikan dengan kecemerlangan benteng pertahanan serta jentera serangan apabila skuad Sang Penyu mengumpul 44 mata daripada 22 aksi liga.

Selain itu, pasukan tersebut turut mencatatkan rekod baik dengan menjaringkan 39 gol selain hanya dibolosi sebanyak 20 kali, sekali gus membuktikan kualiti mereka pertahanan dan serangan mereka.

Dalam kempen Piala FA pula, Terengganu FC juga dilihat sukar dibendung dengan meneruskan kemaraan mereka sehingga ke pentas akhir meskipun dikecewakan Johor Darul Takzim (JDT) dengan skor 1-3.

Bagaimanapun, persoalan mengenai masa depan pasukan Pantai Timur itu mula dipersoalkan peminat tegar bola sepak tempatan apabila prestasi mereka mula merosot sebelum tirai musim ini dilabuhkan.

312728240_625231779117480_4356807118918012110_n

Penang FC hilang dalam bayangan sendiri selepas cukup cemerlang pada 2021. Facebook/Penang FC

Anak-anak buah Nafuzi dikatakan bergelut ketika Piala Malaysia dengan Selangor FC mudah menyekat kemaraan mereka di peringkat separuh akhir dengan agregat memihak kepada skuad Gergasi Merah 3-2.

Tidak cukup dengan itu, beberapa tonggak pasukan turut menunjukkan persembahan kurang meyakinkan, termasuk duo penyerang tempatan, Faisal Halim dan Faiz Nasir.

Situasi tersebut seakan-akan mengingatkan orang ramai dengan prestasi pasukan tercorot Liga Super, Penang FC yang hanya mencatatkan dua kemenangan dalam 22 aksi Liga Super.

Pada 2021, skuad Harimau Kumbang mengejutkan landskap bola sepak tempatan dengan menduduki tangga ketiga selepas bersaing dalam Liga Perdana musim sebelumnya.

Sekiranya situasi yang sama melanda Terengganu FC, mereka pasti sukar untuk menerima perkara itu, apatah lagi apabila skuad Sang Penyu mencatatkan prestasi konsisten beberapa tahun kebelakangan ini.

Namun, dengan tiga sebab ini, nasib yang bakal menimpa juara Piala FA 2011 itu musim depan seakan-akan sukar untuk ditolak, sekali gus menyajikan penyokong bola sepak tanah air dengan kemerosotan menimpa Penang FC tahun ini.

Penang FC mengalami zaman keruduman secara mendadak apabila melepaskan ramai pemainnya pada musim ini selain kemelut kejurulatihan yang menyaksikan Tomas Trucha dipecat pada awal musim dan tempatnya digantikan sementara, Datuk Zainal Abidin Hassan.

Jadi tidak mustahil, TFC boleh terkena badi Penang FC pada musim depan disebabkan tiga faktor utama ini.

1. Kualiti Tomislav Steinbruckner

Rata-rata penyokong skuad Sang Penyu berpendapat penyingkiran pasukan itu daripada pentas Piala Malaysia berpunca daripada kemelut kontrak antara pihak pengurusan dan Nafuzi.

Sejak awal musim lagi, kedua-dua mereka dilihat tidak sebulu berikutan keengganan masing-masing untuk mengadakan satu sesi perbincangan mengenai masa depan pasukan.

Perkara itu difahamkan berpunca apabila ketua jurulatih kelahiran Terengganu itu berasakan sumbangannya tidak dihargai walaupun sudah membuktikan kebolehannya sejak 2018.

Kemelut tersebut akhirnya menemukan titik noktah dengan keputusan Nafuzi menolak tawaran lanjutan kontrak selama setahun yang ditawarkan selepas didesak penyokong skuad Sang Penyu.

Namun, peminat fanatik Terengganu FC sepertinya tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan pengganti berkualiti dengan Pengarah Teknikal, Tomislav Steinbruckner diumumkan sebagai ketua jurulatih untuk musim depan.

314342130_1590716368025705_7546769391140960717_n

Mampukah Tomislav (kiri) menepis kesemua pandangan skeptikal yang dilontarkan kepadanya? Facebook/Terengganu FC

Jurulatih berusia 56 tahun itu sememangnya tidak asing lagi apabila dia pernah memegang jawatan sebagai pengendali T-Team pada 2015 selain menggilap bakat pemain kebangsaan, Safawi Rasid.

Di samping itu, bekas ketua jurulatih Terengganu FC, Irfan Bakti Abu Salim turut percaya Tomislav merupakan antara calon terbaik untuk membimbing pasukan itu.

Tetapi, harus diingatkan bahawa kekurangan pengalaman merupakan antara cabaran besar yang dimiliki pembimbing kelahiran Croatia itu, seperti mana pernah dihadapi Nafuzi ketika memegang tampuk kejurulatihan.

Setakat ini, Tomislav hanya pernah membimbing kelab Croatia, NK Osijek dan NK Novigrad di samping T-Team, sekali gus membuktikan bahawa dia tidak mempunyai pengetahuan lanjut dalam bidang tersebut.

Bagaimanapun, seperti yang dibuktikan Nafuzi, Tomislav tidak boleh dinilai terlalu awal dengan dia perlu mengenal pasti pendekatan taktikal sesuai demi kebaikan pasukan.

2. Kehilangan tonggak

Meskipun jendela perpindahan sudah dibuka pada Khamis lalu, pihak pengurusan Terengganu FC masih tidak mengeluarkan kenyataan mengenai penghijrahan keluar pemain.

Ketika pertengahan musim lalu, kecoh di media sosial mengatakan penyerang bertubuh kecil, Faisal Halim bakal meninggalkan pasukan untuk menyertai Selangor FC.

Selain itu, beberapa perkhabaran tidak rasmi turut melaporkan skuad Sang Penyu tidak akan mengekalkan khidmat kesemua pemain import kecuali jeneral pasukan, Habib Haroon.

Hal itu semestinya menyukarkan kempen mereka musim depan apabila mereka meletakkan tanggungjawab berat ke atas beberapa tulang belakang skuad dalam aspek pertahanan mahupun serangan.

315208723_1593020061128669_8202078988995211787_n

Skuad Sang Penyu difahamkan akan kehilangan hampir kesemua pemain import mereka. Facebook/Terengganu FC

Duo penyerang import, Tchetche Kipre dan Kpah Sherman jelas melakukan sumbangan besar buat pasukan dengan masing-masing merekodkan 13 gol dan enam gol dalam saingan Liga Super.

Bagi Faisal Halim pula, larian dan hantarannya kerap memberi pulangan lumayan buat Terengganu FC dengan pemain berusia 24 tahun itu dilabel sebagai antara wajah tempatan terbaik musim ini.

Pemain kelahiran Senegal, Pape Diakite juga cukup penting buat Sang Penyu apabila dia membuktikan kemampuan tersendiri dengan kemahiran untuk membaca gerakan lawan.

Sekiranya kesemua pemain tersebut memilih untuk meninggalkan pasukan, finalis Piala FA 2022 itu diramal akan bergelut, apatah lagi dengan landskap Liga Malaysia yang lebih mencabar selepas ini.

Namun, seperti yang dibuktikan beberapa tahun sebelum ini, Terengganu FC kerap membuktikan kemampuan mereka ketika jendela perpindahan dengan kerap membawa masuk pemain berkualiti.

3. Import berusia

Seperti dibincangkan awal tadi, jendela perpindahan Liga Malaysia dibuka seawal Khamis lalu dengan beberapa pasukan tidak menunggu lama untuk mengumumkan kehadiran pemain baharu.

Antara pasukan yang berbuat sedemikian ialah Terengganu FC dengan menandatangani bekas penyerang Melaka United, Sony Norde selepas khabar angin tersebut bertiup kencang sejak pertengahan musim lagi.

Ura-ura juga mengatakan Terengganu FC sedang berusaha untuk mendapatkan beberapa pemain lagi dengan import Kedah Darul Aman (KDA) FC, Mahmoud Al-Mardi difahamkan menjadi sasaran utama mereka.

Khabar angin itu dikatakan muncul melihat kepada kemampuan kedua-dua pemain itu yang dibuktikan dengan satu sumbangan yang penting buat pasukan tersendiri.

Bagi Al-Mardi, kemahirannya untuk melakukan hantaran berkualiti cukup didambakan skuad Sang Penyu dengan dia merekodkan tujuh bantuan gol dalam 12 penampilan bersama Kedah.

Sony Norde juga bukanlah seorang import yang boleh dipandang rendah apabila dia masih beraksi dengan cemerlang untuk Melaka United meskipun berdepan isu kewangan sepanjang musim.

317371323_1609042492859759_3100676645980500334_n

Usia dilihat menjadi satu penghalang besar buat Sony Norde di Terengganu musim depan. Facebook/Terengganu FC

Oleh itu, kehadiran kedua-dua tersebut pasti membawa perbezaan buat pasukan dengan kekurangan pemain dalam setiap posisi serba sedikit menjadi isu buat Terengganu FC.

Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa mereka seakan-akan sudah melepasi puncak karier dengan usia Norde sudah mencecah 33 tahun sementara Al-Mardi berusia 29 tahun.

Perkara itu seakan-akan sukar untuk diterima penyokong yang mengharapkan pihak pengurusan tidak membawa masuk 'kuda tua' dalam usaha mereka meningkatkan kualiti pasukan.

Tidak cukup dengan itu, Al-Mardi dan Norde juga kerap disisihkan daripada pasukan masing-masing musim ini dengan orang ramai percaya ia berikutan isu kecergasan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram