Ibarat tidak dihargai, kehilangan import Terengganu guris hati penyokong


  • Podium
  • Rabu, 07 Dis 2022

Diakite (kanan) dikhabarkan tidak menerima tawaran lanjutan kontrak bersama Terengganu FC musim depan. — Facebook/Terengganu FC

SELEPAS menamatkan kempen Liga Super di tangga kedua musim ini, Terengganu FC dilihat sukar untuk mengulangi pencapaian itu selepas ketua jurulatih, Nafuzi Zain sah meninggalkan kelab itu.

Perkara itu difahamkan berlaku selepas terdapat konflik dalaman dengan jurulatih berusia 43 tahun itu berasakan sumbangan dan kehadirannya tidak dihargai pihak pengurusan.

Lebih teruk lagi, terdapat khabar angin mengatakan pemergian Nafuzi bakal menyaksikan beberapa tonggak pasukan berhijrah untuk mencari angin baharu dalam karier masing-masing musim depan.

Penyerang bertubuh kecil, Faisal Halim dikatakan sudah dirisik Selangor FC awal musim lalu dengan laporan tidak rasmi turut menyebut dia sudah menolak kontrak lanjutan bersama Terengganu FC.

Selain itu, terdapat juga khabar angin bahawa pemain tengah kelahiran Filipina, Manuel Ott bakal mengambil haluan sendiri dengan ura-ura mengaitkannya dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

WhatsApp Image 2022-12-07 at 13.52.38

Diakite (tengah) merupakan kehadiran penting untuk benteng pertahanan Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Ketiadaan kedua-dua tonggak pasukan itu musim depan semestinya memberi kesan yang besar dengan kelincahan Faisal jelas membantu jentera serangan manakala kehadiran Ott cukup penting di atas padang.

Baru-baru ini, timbul satu lagi perkhabaran mengecewakan bahawa skuad Sang Penyu bakal kehilangan khidmat pertahanan tengah, Pape Diakite seperti mana yang didedahkan pemain tersebut.

Luahan di laman Instagram peribadinya mengesahkan bahawa sehingga kini, tiada juga tidak ditawarkan kontrak lanjutan meskipun sudah beraksi dengan cukup baik sepanjang musim.

Dalam aksi Liga Super, pemain tinggi lampai itu hanya tidak diturunkan dalam tiga perlawanan, sekali gus membuktikan khidmatnya cukup penting buat tembok pertahanan Terengganu FC.

Selain itu, dia juga cukup menyerlah dalam membantu pasukan yang mencatatkan satu rekod yang cemerlang dengan hanya dibolosi sebanyak 20 kali dalam 22 perlawanan.

Oleh itu, tidak timbul sebarang tanda tanya sekiranya segelintir penyokong mula mempersoalkan keputusan pihak pengurusan atas keengganan mereka dalam mengekalkan pemain itu.

315839786_1602326900197985_8290220754090058271_n

Penyokong Terengganu seakan-akan kurang senang dengan pemergian import pasukan. Facebook/Terengganu FC

"Antara pertahanan tengah yang terbaik untuk Terengganu, mempunyai sifat kepimpinan bagus dan selalu memberi arahan kepada rakan sepasukan yang lain.

"Pape Diakite bagi saya tidak gelabah dan tenang dalam mengawal bola dan seorang kapten yang pernah beraksi di pentas Asia serta seseorang yang bermain untuk lencana di dada," kata Iqie Muhammad.

"Pelik juga saya rasa dengan Terengganu ni kerana ada import yang lain, boleh pula mereka kekalkan. Pertahanan kental sebegini tidak mahu pula?" soal Ermm Payoh Base.

"Pada saya, rugilah sekiranya dilepaskan Pape (Diakite) ni sebab saya boleh sifatkannya seperti sebuah kereta kebal selain memberi aura kepada pemain lain," kata Ediey.

Awal musim lalu, pemain berusia 29 tahun itu menyertai Terengganu FC selepas mengumpul pengalaman bersama kelab Vietnam, Ho Chi Minh City FC serta Sai Gon FC.

Dia sebelum ini turut dikaitkan dengan perpindahan ke KDA FC untuk menyertai Nafuzi, namun tiada pengumuman rasmi daripada mana-mana pihak atas perkara itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram