Pan-gon harap DNA Malaysia ada dalam diri pemain baharu


  • Podium
  • Khamis, 08 Dis 2022

Pan-gon berjanji penyokong akan dapat menikmati aksi beberapa pemain baharu pasukan kebangsaan dalam perlawanan persahabatan di SNBJ. — Facebook/FAM

JURULATIH Harimau Malaya, Kim Pan-gon sudah pasti mahukan kemenangan dalam perlawanan persahabatan pemanas badan dengan Kemboja di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Jumaat.

Walaupun kemenangan adalah penting, Pan-gon merasakan konsistensi dan kemampuan anak-anak buahnya memahami dan melaksanakan pelan taktikal adalah lebih utama.

Bercakap pada sidang media praperlawanan menjelang perlawanan persahabatan dengan Kemboja pasukan ranking ke-177 dunia pada Jumaat, Pan-gon mahu melihat pemain yang kebanyakannya baru kali pertama menyertai kem latihan akan mampu mengikuti "DNA Malaysia” yang ditanam ke atas mereka beberapa hari lepas.

Jurulatih Korea Selatan berusia 53 tahun itu juga berjanji penyokong akan dapat menikmati aksi beberapa pemain baharu pasukan kebangsaan dalam perlawanan persahabatan di SNBJ esok berbanding kelayakan Piala Asia pada Jun dan Piala Raja Thailand, September lepas.

"Perlawanan menentang Kemboja dan Maldives minggu depan merupakan sebahagian daripada persediaan untuk Piala AFF. Ini amat penting buat pasukan dan peluang terbaik bagi kami untuk menilai sama ada pemain sedia untuk bermain dengan taktik yang kami rancang atau tidak.

"Kami mahu pasukan kebangsaan mengikuti falsafah dan gaya pasukan, mengikuti gaya permainan Harimau Malaya, tidak kira siapa yang bermain. Kami telah berkongsi banyak maklumat dengan pemain muda, mereka seharusnya amat penat dari segi mental dengan maklumat baharu ini," katanya.

Pan-gon juga mengakui beberapa pemain daripada 28 yang tersenarai mengikuti latihan, mungkin tidak akan diturunkan ketika bertemu Kemboja kerana masalah kecederaan dan kesihatan tetapi beliau tidak mendedahkan nama mereka.

WhatsApp Image 2022-12-08 at 7.05.36 PM

Sebahagian daripada pemain Harimau Malaya ketika sesi latihan menjelang perlawanan persahabatan menentang Kemboja. — Facebook/FAM

Ditanya mengenai sasaran Piala AFF yang dijadualkan berlangsung dari 20 Disember hingga 16 Januari, Pan-gon berkata, beliau amat teruja dengan kejohanan serantau ini tetapi beliau tidak boleh meletakkan sasaran mengikut hasratnya sebelum menguji keupayaan sebenar pasukan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kemboja, Ryu Hirose berkata, beliau mahukan pemainnya membawa pulang pengalaman berharga untuk menghadapi Piala AFF selepas mengadakan persiapan ringkas kerana beliau hanya dapat memanggil pemain-pemain selepas Liga Perdana Kemboja berakhir Sabtu lepas.

"Kami hanya mampu mengadakan persiapan ringkas sebelum tiba di sini tetapi sudah pasti kami mahu memperoleh sesuatu esok, terutamanya taktik permainan menjelang Piala AFF. Kami merancang untuk bermain lebih banyak perlawanan persahabatan tetapi malangnya tidak dapat, jadi ini merupakan satu-satunya perlawanan pemanas badan kami sebelum kejohanan serantau itu, " kata jurulatih dari Jepun itu.

Selepas bertemu Kemboja, Malaysia yang di kedudukan 146 ranking dunia akan berhadapan dengan Maldives (rangking ke-154) di Stadium Bola Sepak Cheras Kuala Lumpur pada Rabu ini sebelum Pan-gon memuktamadkan senarai 23 pemain yang akan beraksi dalam Piala AFF.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B kejohanan dua tahun sekali itu akan menentang Myanmar di Yangon 21 Dis ini, Laos di Bukit Jalil (24 Disember), Vietnam di Hanoi (27 Disember) dan Singapura di Bukit Jalil (3 Januari). Hanya dua pasukan teratas akan mara ke separuh akhir. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram