SEJAK menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10, setiap pergerakan dan apa yang diperagakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa menjadi perhatian.
Telefon pintar, jam tangan, capal dan corak pemakaian Anwar yang dilihat lebih selesa untuk tidak mengenakan tali leher turut menjadi bualan warganet.
Ada yang menganggap gaya anwar yang tidak mengenakan tali leher turut menjadi ikutan barisan timbalan dan menterinya yang lain.
Namun, adakah gaya Anwar itu boleh dibawa kepada sekolah khususnya yang menjadikan tali leher sebagai sebahagia daripada uniform wajib?
Bagaimana pula dengan gaya Anwar itu adakah akan memberi kesan terhadap imej profesional dan kredibilitinya sebagai seorang ketua kerajaan?
Perunding imej, Tym Fatimah.
Tali leher bukan ukuran profesional
Perunding imej terkemuka, Tym Fatimah berkata, berdasarkan penilaiannya, dia nampak Anwar tahu bila waktu yang sesuai mengenakan tali leher.
"Bila saya perhati balik, waktu dia ke Istana Negara atau menghadiri mesyuarat dengan pemimpin luar, dia akan mengenakan tali leher yang bermaksud pemakaiannya khusus kepada urusan yang lebih formal.
"Kalau dia masuk ke pejabat atau muncul dalam sidang media tanpa memakai tali leher tidak akan memberi kesan kepada imej profesionalnya.
"Malah, pemilihan kemeja dan suit dia pun dah nampak profesional iaitu lebih kepada semi formal. Masih kemas, neat and tidy," katanya kepada Majoriti.
Pemakaian tali leher menjadi sebahagian daripada uniform murid sekolah.
Mansuh pemakaian tali leher dalam kalangan murid
Ditanya mengenai cadangan untuk memansuhkan pemakaian tali leher dalam kalangan murid sekolah, Tym Fatimah berkata, kalau pemansuhan itu dibuat untuk mengikut imej yang diperagakan Perdana Menteri, mungkin tidak perlu.
"Kalau pemakaian tali leher boleh mendisiplinkan murid untuk berpakaian kemas, boleh sahaja kekalkan. Peraturan di sekolah tak perlu ditukar mengikut pemerintah.
"Kalau lima tahun lagi kita dapat Perdana Menteri yang suka pakai tali leher, kita kena laksanakan peraturan baharu pula di sekolah. Perkara itu lagi menyusahkan," katanya.
Namun katanya, jika pemakaian tali leher itu dilihat sebagai sesuatu yang mengganggu atau menyusahkan murid seperti cuaca yang tidak sesuai dan sebagainya, boleh sahaja dimansuhkan.
"Kalau kaji daripada segi itu, mungkin boleh dimansuhkan. Kita kekalkan sahaja pemakaian kemeja. Tidak semestinya tiada tali leher itu akan buat seseorang itu tidak profesional atau berdisiplin," katanya.
Anwar (tengah) dilihat tidak memakai tali leher ketika menghadiri mesyuarat. — Bernama
Tali leher tiada kena mengena dengan budaya
Ditanya mengenai andaian sesetengah warganet yang menganggap pemakaian tali leher itu sebagai budaya barat, Tym Fatimah berkata, perkara itu tidak benar sama sekali.
"Tali leher ini tiada kena mengena dengan budaya dan kalau kita pakai, bukan bererti kita terikut budaya barat.
"Sebaliknya, pemakaian tali leher itu sudah termasuk dalam etika pemakaian sama seperti kalau kita pakai tuxedo, ada etika pemakaiannya tersendiri," katanya.
Bagaimanapun katanya, seseorang itu boleh menukar imej mereka untuk menampakkan mereka lebih formal atau semi formal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram