PERHIMPUNAN Agung Umno (PAU) yang sepatutnya diadakan pada 21 hingga 24 Disember depan kini ditangguhkan kepada 11 hingga 14 Januari tahun depan.
Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan yang berkata bahawa penangguhan itu dilakukan kerana bertembung dengan cuti persekolahan.
Namun, ada yang mengatakan bahawa penangguhan itu ibarat ada agenda politik tersembunyi dalam kalangan pemimpin parti.
Penganalisis politik, Prof Dr Rusdi Omar
Penganalisis politik, Prof Dr Rusdi Omar berkata, agenda politik tersembunyi akan sentiasa ada dalam mana-mana parti politik.
"Cuma saya melihat secara besar bahawa apa yang dilakukan oleh Umno sebenarnya adalah untuk menstabilkan politik dalaman mereka.
"Apa yang kita nampak ada perpecahan dalam Umno dan mereka sedang berusaha untuk menarik semula sokongan rakan-rakan bagi memperkuatkan parti itu," katanya kepada Majoriti.
Menurut Rusdi, tempoh bertenang menerusi penangguhan ini memang patut dilakukan kerana berlaku tsunami dalam kalangan pengundi Melayu.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob didakwa berselisih faham dengan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Jelasnya, penangguhan ini bukan sahaja perlu buat Umno, tetapi mana-mana parti lain untuk membuat keputusan besar dan hala tuju parti di masa depan selepas PRU15.
"Lagipun kalau tidak berlaku penangguhan, kemungkinan masalah dalaman parti akan bertambah parah yang akhirnya memberi kesan kepada parti sendiri.
"Kita kalau boleh tak mahu mana-mana parti berkubur tetapi itu boleh terjadi jika tiada penangguhan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram