Perlakuan, kenyataan spontan pemimpin negara jadi bualan warganet


  • Politik
  • Selasa, 06 Dis 2022

Anwar (kanan) dan Ahmad Zahid antara pemimpin negara yang menjadi bualan warganet.

SITUASI politik negara masih belum boleh dikatakan cukup stabil dengan beberapa lagi parti politik masih mengalami pertelingkahan dalaman yang belum selesai.

Namun, kerja-kerja pentadbiran negara tetap perlu diteruskan apatah lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah mengumumkan barisan menteri dalam kabinetnya.

Seperti yang diumumkan, ada pemimpin yang sudah berpengalaman memegang jawatan menteri, namun ada juga yang baru pertama kali diberi tanggungjawab mengemudi kementerian.

Menjadi perhatian rakyat, setiap tindak tanduk mereka kini menjadi tumpuan dan perbualan di media sosial.

Berikut Majoriti senaraikan empat tindakan dan kenyataan pelik yang dilakukan kepimpinan negara hingga mengundang reaksi daripada warganet.

2511_edorgan_tahniah_1

Datuk Seri Anwar Ibrahim

Tindakan Anwar selaku Perdana Menteri ketika beliau mula-mula mengadakan sidang media menjadi bualan warganet kerana menjawab panggilan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan secara langsung di televisyen.

Erdogan menghubungi Anwar untuk mengucapkan tahniah atas lantikannya sebagai Perdana Menteri ke-10 negara. Namun yang menjadi bualan adalah apabila Anwar memperdengarkan perbualan mereka secara langsung di televisyen.

Ada yang risau keterujaan Anwar menjawab panggilan itu secara terbuka terutamanya jika perbualan itu melibatkan perkara sensitif yang perlu dirahsiakan.

Malah, ada juga yang berpendapat bahawa Anwar sepatutnya mendahulukan sidang media berbanding panggilan telefon daripada pemimpin luar.

PUTRAJAYA, 5 Dis -- Menteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil pada sidang media selepas mengimbas kad Perakam Waktu (Clock in) sebagai simbolik memulakan tugas secara rasmi di Kementerian Komunikasi Digital hari ini.--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Fahmi Fadzil

Memegang portfolio Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil pada Isnin menjadi tumpuan warganet ketika mengadakan sidang media pertamanya.

Ketika sidang media dijalankan, Fahmi berhenti seketika dan sempat memberitahu yang dia terpaksa menjawab telefon ekoran menerima panggilan dari Pejabat Perdana Menteri.

Bukan itu sahaja, dia juga memberikan reaksi terkejut kerana perlu berada di tempat lain ketika sidang media itu berlangsung.

Ramai yang terhibur dengan keletah menteri itu namun secara profesional, perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan perlu diselesaikan oleh setiausaha atau pembantunya.

PKR Vice President Rafizi Ramli delivers his winding  speech  after  the 13th party National Congress at IDCC in Shah Alam.AZHAR MAHFOF/The Star(18/11/2018)

Rafizi Ramli

Selain daripada formula minyak murah yang dicanang sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli juga menjadi bualan kerana ucapannya yang dianggap tidak serupa bikin.

Rafizi sebelum ini ketika berkempen dalam PRU15 dengan tegas menyatakan yang dia akan 'mencari' Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki jika PH mengambil alih pentadbiran negara.

Namun baru-baru ini, Rafizi mengatakan yang kenyataannya itu telah disalah tafsir sebaliknya apa yang dilakukannya sebelum itu lebih kepada 'political soundbytes' atau 'news byte'.

Jelasnya, maksud sebenarnya adalah supaya SPRM benar-benar bebas daripada sebarang campur tangan.

BANDAR BAHARU, 19 Okt -- Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan perasmian pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran peringkat negeri Kedah di Dataran Serdang hari ini.--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

Selama 24 tahun Umno dan BN bermusuh dengan PKR serta DAP, kini parti itu menjadi rakan karib membentuk kerajaan.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno menerusi ceramahnya bagi membantu calon PH di Parlimen Padang Serai, Kedah menyatakan sesuatu yang menjadi bualan warganet.

"Seluruh rakyat tahu kami alergi orang pakai baju biru muda, dulu kami alergi tetapi ada ubatnya.

"Ubatnya ialah keikhlasan untuk kita bekerja bersama-sama sebagai satu pasukan yang kuat, atas dasar itulah kita harus melupakan perbezaan dalam kalangan kita," katanya.

Kenyataan itu menjadi bualan warganet yang menyifatkan Ahmad Zahid sebagai seorang yang sangat mudah melupakan sesuatu yang diperjuangkan bertahun-tahun selama ini.

Namun, atas titah Yang di-Pertuan Agong segala-galanya berubah untuk manfaat rakyat dan negara menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram