Tiada pemain Terengganu, Nafuzi dedah bakal bentuk team anak jati Kedah


  • Podium
  • Selasa, 06 Dis 2022

Nafuzi (kanan) secara rasmi diumumkan sebagai pengendali skuad Sang Kenari secara kontrak untuk dua tahun. — Facebook

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) secara rasmi mengumumkan Nafuzi Zain sebagai pengendali pasukan tersebut bagi musim 2023.

Bekas pengendali Terengganu FC itu mendedahkan bahawa dia memilih skuad Sang Kenari kerana mahu menimba seberapa banyak pengalaman sebagai jurulatih dengan kelab tersebut.

"Sebagai jurulatih, untuk dapat peluang kelab bersama pasukan sebesar Kedah bukan sesuatu yang senang dan saya rasa peluang ini ialah peluang terbaik untuk saya sebagai jurulatih mencari pengalaman.

"Untuk keselesaan mungkin saya kekal saja di kelab lama, tapi di sini terhidang suasana dan cabaran baharu dan saya pun tak sabar nak mulakan musim depan bersama pasukan Kedah," katanya pada sidang media selepas majlis pengenalan ketua jurulatih KDA FC pada Selasa.

Hadir sama pemilik saham terbesar KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali.

316266672_564880045473350_8091793482380831637_n

Nafuzi pernah bergelar pemain pasukan Kedah pada era double treble. — Facebook

Sementara itu, mengulas mengenai sebahagian perancangannya dengan KDA FC, Nafuzi mahu membina dan menggilap bakat-bakat muda di Kedah.

"Saya mementingkan anak jati dari Kedah. Bagi saya, saya lebih suka mengembangkan bakat-bakat pemain, saya lebih suka 'buat' pemain.

"Kedah ada pemain muda yang berkualiti untuk digilap, kita tahu pemain yang ada sekarang ni agak berkualiti, dan kita nampak pemain muda musim ini banyak dan season depan lebih mematangkan dan kita akan cari pemain muda yang lain.

"Saya sendiri akan lihat bakat-bakat muda yang bermain di liga Kedah... kita tahu di situ ada pemain yang berkualiti, jadi perlu diketengahkan.

"Bagi saya coach Aidil Sharin Sahak pun melakukan tugas sebagai jurulatih yang baik sebelum ini. Banyak kejayaan dicapai, pemain-pemain yang baik pun hasil daripada coach Aidil dan saya akan meneruskan kecemerlangan itu.

"Untuk jadi jurulatih yang berjaya, saya perlu mengharungi cabaran ini," katanya.

318181171_565136612114360_4950768857715541121_n

Dalam pada itu, ditanya mengenai khabar angin mengatakan Nafuzi membawa bersama beberapa pemain import dari Terengganu FC ke KDA FC, jurulatih berusia 44 tahun itu menafikan berita tersebut.

"Untuk pemain dari Terengganu, saya tak bawa lah ke Kedah, saya akan buat team ini dengan pemain dari Kedah dan bukan pemain Terengganu FC.

"Berkenaan dengan import, setakat ini kita masih dalam peringkat perbincangan dan penelitian dan akan buat pengumuman apabila tiba masa sesuai," katanya.

Dalam perkembangan sama, Daud Bakar memaklumkan seramai sembilan orang pemain import akan menyertai KDA FC pada musim depan.

"Berdasarkan bajet sederhana yang diperuntukkan untuk musim depan, kita ambil tiga pemain import untuk mengisi skuad bawah 23 tahun manakala enam lagi import untuk skuad Liga Super," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram