Gol Arif Aiman, peluang sia-sia Akhyar jadi bualan aksi JDT-Dortmund


  • Podium
  • Isnin, 28 Nov 2022

Akhyar beberapa kali gagal memanfaatkan peluang keemasan untuk menambah jaringan buat JDT. — Facebook/Johor Southern Tigers

JOHOR Darul Takzim (JDT) terpaksa menerima kekalahan 1-4 di tangan gergasi Eropah, Borussia Dortmund dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Isnin.

Dortmund terlebih dulu membuka tirai perlawanan seawal minit ke-10 menerusi bola muntah hasil rembatan penyerang muda, Justin Njinmah.

Anak-anak buah Edin Terzić terus menggegar gawang JDT selepas Donyell Malen pula menggandakan kedudukan pada minit ke-31.

Cubaan demi cubaan JDT untuk menghasilkan gol akhirnya tercipta pada minit ke-40 menerusi rembatan kencang bintang muda Harimau Selatan, Arif Aiman Hanapi.

Kepantasan dan ketenangannya membawa bola hingga ke pintu gol dan menewaskan benteng terakhir Dortmund, Alexander Meyer menggamatkan suasana di SSI.

Namun berbaki lima sebelum wisel penamat separuh masa pertama, anak-anak buah Hector Bidoglio tidak berjaya menambah gol untuk meletakkan pasukan di kedudukan lebih selesa.

316538197_2454552628041355_5148591676487226372_n

Arif Aiman melepasi beberapa pemain Dortmund dalam aksi persahabatan di SSI pada Isnin. — Facebook

Memasuki separuh masa kedua, peledak berbisa JDT, Bergson da Silva dikeluarkan sebelum diganti dengan Akhyar Rashid.

Dortmund pula terus garang memburu gol selepas Ole Pohlmann pula menambah jaringan pada minit ke-60.

Selang 10 minit, penyerang muda kelab gergasi Eropah itu, Samuel Bamba menambah derita kepada skuad Harimau Selatan selepas pemain berusia 18 tahun tersebut menjaringkan gol pada minit ke-70.

JDT yang turun tanpa beberapa tonggak utama seperti Leandro Velazquez, Fernando Forestieri, Natxo Insa dan Matthew Davies agak buntu mencari gol apabila beberapa percubaan gagal disudahkan dengan baik.

Arif Aiman juga terlepas peluang untuk mengejar pasukan pelawat selepas serangannya dipatahkan pertahanan ampuh kelab Bundesliga itu.

Selain itu, Akhyar juga beberapa kali gagal memanfaatkan peluang keemasan dalam aksi satu lawan satu dengan Meyer.

Aksi pemain berusia 23 tahun itu sedikit mengecewakan penyokong yang berasakan dia agak tamak dalam penguasaan bola.

"Satu je nak cakap.. (Akhyar) tamak walaupun ia memang salah satu tugas penyerang.

"Ketiadaan Bergson dan Forestieri juga merencatkan taktikal tapi JDT bermain dengan baik, kalau team lain tak tahulah pengakhirannya camne," kata penyokong JDT, Mohd Hafiz.

Selepas ini, Dortmund yang dalam siri jelajah di Asia dijadualkan terbang ke Vietnam sementara menunggu kempen Piala Dunia 2022 berakhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram