PENYERANG sayap licik Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi berhasrat untuk terus membantu pasukan Selatan tanah air itu selepas mencatat sejarah tersendiri musim ini.
Katanya, dia masih melihat jalan kariernya masih jauh dan percaya bahawa terdapat banyak lagi ilmu dan pengalaman yang perlu diraih dalam meningkatkan lagi kebolehannya.
"Tahun ini amat bermakna bagi saya dan akan diingati sampai bila-bila sebab di usia muda macam saya, jarang orang dapat peluang macam ini dan saya akan gunakannya untuk lebih maju pada masa depan.
"Perjalanan saya masih jauh dan saya tidak akan berhenti belajar, ini permulaan bagi saya sebab saya masih muda banyak lagi yang akan dilalui,” katanya.
Dia berkata demikian selepas perlawanan akhir Piala Malaysia yang menyaksikan JDT menjulang trofi keempat musim ini selepas menewaskan Selangor FC dengan skor 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.
JDT menewaskan Selangor FC dengan skor 2-1 untuk menjulang trofi Piala Malaysia. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Tambah pemain berusia 20 tahun itu, dia tidak mahu terbuai dengan pujian yang dilontarkan kepadanya selain berasa bersyukur kerana terus diberikan kepercayaan dalam skuad Harimau Selatan.
Musim ini, Arif merupakan antara wajah penting di sebalik kejayaan pasukan selepas tampil dalam 38 perlawanan dengan 21 daripadanya tampil dalam aksi Liga Super.
Sumbangannya juga tidak boleh dipandang rendah selepas berjaya menjaringkan lapan gol serta merekodkan 20 bantuan di samping mewujudkan gandingan serasi dalam jentera serangan bersama Bergson da Silva dan Fernando Forestieri.
Perkara itu dilihat cukup penting di sebalik satu musim yang membanggakan buat Harimau Selatan yang menjulang trofi Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih selain muncul juara Liga Super.
Sementara itu, Arif Aiman berkata, misi utamanya selepas ini ialah membantu JDT meraih lebih banyak kejayaan pada musim berikutnya yang lebih mencabar, selain memberikan persembahan terbaik bersama skuad kebangsaan di pentas antarabangsa. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram