TUMBANGNYA pasukan-pasukan besar dunia pada perlawanan pembukaan Piala Dunia 2022 di Qatar memberikan harapan kepada peminat bola tempatan agar persaingan sengit sama berlaku final pada Piala Malaysia, Sabtu ini.
Bukan kerana mereka membenci pasukan Johor Darul Takzim (JDT) atau menyokong pasukan Selangor FC, namun mereka dahagakan satu pertarungan seimbang sepanjang 90 minit perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, di ibu negara.
Tampil sebagai pasukan pilihan, pasukan Harimau Selatan pasti mahu terus mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini sekali gus merangkul gelaran 'treble'.
Sementara itu, pasukan Selangor pula baru sahaja bangkit dari episod gelap dengan mengekalkan rekod tanpa kalah sejak kejurulatihan diambil oleh Tan Cheng Hoe, Oktober lalu.
Kini, Red Giants memiliki misi serampang dua mata iaitu menjulang Piala Malaysia ke-34 mereka dan meraih tiket ke Piala AFC musim depan.
Yazan (depan) tidak dapat diturunkan setelah dilayangkan kad merah pada perlawanan lalu.— Selangor FC
Menurut pemerhati sukan negara, Zainal Abidin Rawop, peratusan kemenangan lebih berat kepada pasukan JDT berbanding Selangor dengan jumlah 60 peratus dan 40 peratus.
"Peluang memang berpihak kepada JDT kerana mereka berada dalam mood kemenangan iaitu 'unbeaten' sepanjang tahun ini dalam saingan liga tempatan.
"Kalau Selangor di bawah Cheng Hoe mengambil pendekatan seperti KL City tahun lalu sewaktu kalahkan JDT di final Piala Malaysia tahun lalu, mereka ada peluang untuk menang.
"Sekiranya diukur kekuatan antara pemain dan pasukan, kelebihan memang berpihak kepada JDT," katanya kepada Majoriti.
Mengulas mengenai taktikal kedua-dua pasukan, Zainal tidak mahu menyimpulkan bahawa pasukan Selangor hanya bermain pada bahagian pertahanan manakala JDT kuat pada bahagian serangan.
Tegasnya, perlawanan lalu bukanlah satu perbandingan yang boleh digunakan pakai untuk meramal corak permainan pada Sabtu nanti.
Namun cabaran besar menanti anak-anak buah Cheng Hoe apabila pemain pertahanan import mereka, Yazan Abu Al-Arab tidak boleh diturunkan setelah dilayangkan kad merah pada perlawanan separuh akhir menentang Terengganu Isnin lalu.
"Tak semestinya Cheng Hoe akan menggunakan taktikal sama seperti pada waktu lawan Terengganu lalu. Perlu tahu, ketika itu Selangor mahu jaga mata.
"Sekarang ni cabaran pada Selangor adalah mereka kehilangan seorang pemain. JDT pula, Hector (Bidoglio) hanya perlu pening nak turunkan siapa sebab semua pun boleh main.
"Tapi seperti yang berlaku di Piala Dunia sekarang dan juga Piala Malaysia tahun lalu, tak mustahil Selangor FC menang ke atas JDT," jelasnya.
Sebagai rekod, kali terakhir JDT menang adalah pada 2019 manakala Selangor pada 2015. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram