YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri-ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan, pelantikan itu dibuat Al-Sultan Abdullah selepas memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat.
"Pada sesi perbincangan khas berlangsung bermula 11 pagi Khamis, baginda berkenan mewasalkan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu proses perlantikan Perdana Menteri baharu susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November lalu.
"Proses itu adalah bagi membolehkan baginda membuat keputusan melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(1)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan," kata beliau dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau lagi, proses seterusnya adalah Istiadat Pengurniaan Suratcara Perlantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan berlangsung 5 petang Khamis di Istana Negara.
"Baginda mengingatkan kepada semua pihak bahawa yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua.
"Justeru, bagaikan biduk lalu, kiambang bertaut, hulurkan tangan antara satu dengan yang lain bagi merapatkan semula saf antara semua ahli-ahli Dewan Rakyat demi masa depan negara tercinta," katanya.
Seri Paduka Baginda turut mengingatkan Ahli Dewan Rakyat untuk mempamerkan solidariti, memberi keutamaan, komitmen tinggi dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Baginda juga menegaskan bahawa negara ini umpama harta pusaka dengan pemimpin adalah pemegang amanahnya yang perlu dijaga kerana bakal diwarisi generasi muda yang akan membawa negara terus ke mercu kejayaan.
"Baginda turut berpesan kepada Perdana Menteri dan kerajaan baharu yang bakal dibentuk untuk mengambil resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.
"Hakikatnya, rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada kesudahan tatkala negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk merancakkan landskap ekonomi dan pembangunan negara," katanya.
Menurutnya, ahli-ahli Dewan Rakyat yang sudah dipilih oleh takyat turut diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
"Baginda turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan berterusan Raja-Raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab baginda selaku Raja Berpelembagaan yang berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan keluhuran undang-undang.
"Raja-Raja Melayu turut menyokong perdirian baginda bagi pembentukan kerajaan yang stabil secepat mungkin berikutan PRU15 menerusi proses penuh cermat dan teliti serta pemerhatian yang mendalam.
"Baginda memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat ALLAH SWT dan menyeru rakyat supaya terus beristiqomah serta bertenang dan bersama mendoakan agar negara sentiasa diberkati, dirahmati dan di bawah lindungan ALLAH SWT, dijauhi sebarang bencana dan musibah," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram