GPS setuju bentuk kerajaan perpaduan bersama PH — Abang Johari


  • Primer
  • Khamis, 24 Nov 2022

Abang Johari (tengah) pada sidang media selepas mempengerusikan mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi GPS di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bertempat di Kuching, Sarawak pada Khamis

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) akan menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan selaras titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri-ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kata Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut Premier Sarawak, adalah hak prerogatif Perdana Menteri baharu Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan.

"Pada Rabu, delgasi delegasi GPS diketuai oleh Datuk Seri Fadillah Yusof dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

“Baginda menasihatkan pembentukan kerajaan perpaduan bagi mengatasi kemelut politik.

"GPS akur dengan cadangan pembentukan kerajaan perpaduan yang dihasratkan itu kerana selaras dengan kuasa perlembagaan," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi GPS di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bertempat di Kuching, Sarawak pada Khamis.

Ditanya sama ada ini bermakna GPS akan menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan, beliau menjawab ya.

Namun , beliau enggan mendedahkan sama ada Anwar telah menghubunginya pada Rabu (23 November) atau Khamis.

Menjawab pertanyaan sama ada kerajaan perpaduan akan mendapat sokongan yang mencukupi tanpa penyertaan GPS, Abang Johari berkata beliau tidak tahu.

“Apa yang dikehendaki Yang di-Pertuan Agong ialah kerajaan yang kuat dan stabil,” katanya.

Ketika ditanya sama ada GPS akan meminta jawatan Timbalan Perdana Menteri seperti yang dinyatakan manifesto PH sebelum ini, Abang Johari ringkas menjawab, "Kita lihat".

"Tetapi anda mesti ingat kami adalah blok terbesar (dengan) 23 Ahli Parlimen. Jika anda bandingkan dengan parti lain, kami adalah blok besar," katanya.

Sementara itu, bagi menjernihkan hubungan GPS dengan Dap yang tegang selama ini, Abang Johari menerima permohonan maaf dari Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Pengerusinya, Lim Guan Eng atas sebarang kenyataan yang dibuat oleh pemimpin parti itu pada masa lalu yang menyinggung perasaan kerajaan negeri dan rakyat Sarawak.

Loke telah membuat kunjungan hormat ke atas Abang Johari dan pemimpin GPS lain di sini pada pagi Khamis untuk memohon maaf.

Abang Johari berkata Loke tidak membuat sebarang tawaran kepada GPS semasa pertemuan itu.

“Apa yang penting DAP memohon maaf dan mengakui kesilapan mereka. Mereka juga berkata mahu membuka lembaran baharu.

“Tetapi pada masa sama, mereka mesti menghormati SUPP parti komponen kita,” katanya.

Abang Johari juga berkata, sebarang kerjasama antara GPS dan Dap di peringkat persekutuan tidak akan menjejaskan landskap politik negeri.

Beliau turut menjelaskan bahawa Dap bukan sebahagian daripada kerajaan negeri dan akan kekal sebagai Pembangkang di peringkat negeri. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram