‘Up’ gambar bersama Baddrol Bakhtiar, dengarnya Rizal Ghazali ikut jejak 3 bintang Sabah


  • Podium
  • Rabu, 23 Nov 2022

Beberapa tonggak Sang Badak dilihat bakal menerima nasib berbeza ketika jendela perpindahan nanti. — Facebook/Sabah FC

PENYINGKIRAN Sabah FC daripada separuh akhir Piala Malaysia di tangan Johor Darul Takzim (JDT) menamatkan satu musim yang cemerlang buat pasukan itu.

Prestasi cemerlang dalam Liga Super menyaksikan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee memberi saingan sengit kepada skuad Harimau Selatan dalam mengejar kejuaraan liga.

Namun, prestasi yang terumbang-ambing di penghujung musim menyaksikan skuad Sang Badak tergelincir ke tempat ketiga selepas Terengganu FC mudah memintas mereka.

Hal itu dilihat berpunca daripada kehilangan pemain di beberapa posisi ekoran kecederaan sehingga menyebabkan pasukan tidak mempunyai pilihan yang baik.

Oleh itu, isu tersebut seakan-akan sedang dibaik pulih dengan pihak pengurusan difahamkan cuba mendapatkan pemain-pemain baharu yang hanya akan diumumkan ketika jendela perpindahan.

Penyerang Petaling Jaya (PJ) City FC, Darren Lok merupakan antara pemain yang dikaitkan dengan perpindahan ke Sabah FC selain nama benteng Kuala Lumpur (KL) City FC, Irfan Zakaria juga mula disebut-sebut.

Selain itu, Kim Swee juga dikatakan akan terus membimbing pasukan Borneo itu selepas sentuhan dan pengalamannya membawa perbezaan buat pasukan serta pemain.

Bagaimanapun, timbul satu lagi khabar angin yang bakal menggembirakan penyokong Sabah FC apabila beberapa tonggak pasukan difahamkan akan terus berkhidmat buat Sang Badak.

Selepas mempamerkan satu prestasi konsisten sepanjang musim, nama-nama itu pasti cuba dikekalkan barisan kejurulatihan apabila keserasian mula dirasai.

1. Saddil Ramdani

Sebelum ini, pemain kebangsaan Indonesia, Saddil Ramdani dikatakan bakal berhijrah ke Eropah apabila pasukan divisyen bawahan Austria mula menunjukkan minat.

Perpindahan itu turut dikuatkan apabila pemain berusia 23 tahun itu kerap tidak diturunkan sehingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penyokong.

Meskipun dia dilaporkan mengalami kecederaan, ia tidak menghalang penyokong daripada terus mempersoalkan masa depannya bersama Sabah FC selepas satu musim yang membanggakan.

Di samping mampu beraksi sebagai pemain sayap, Kim Swee turut meletakkan kepercayaan kepadanya untuk mengetuai barisan serangan ketika ketiadaan penyerang import, Jose Embalo.

WhatsApp Image 2022-11-23 at 18.24.06

Saddil merupakan watak penting di sebalik kejayaan Sabah FC musim ini. Facebook/Sabah FC

Namun, ia tidak menjejaskan prestasinya selepas beraksi cemerlang sepanjang tahun dengan berjaya merekodkan empat gol serta enam bantuan dalam 17 perlawanan Liga Super.

Selain itu, persembahannya di atas padang juga sering mencuri perhatian penyokong sehingga rata-rata daripada mereka mula berharap agar kontrak lanjutan ditawarkan kepadanya.

Cita-cita tersebut seakan-akan tercapai dengan beberapa laporan mengatakan pihak pengurusan Sabah FC sudah berhasil mengekalkan khidmatnya untuk sekurang-kurangnya semusim lagi.

2. Damien Lim

Kecemerlangan bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat sepanjang musim menyaksikan Sabah FC beraksi dengan baik dari segi pertahanan dengan hanya 26 gol dibolosi.

Hal itu menyaksikan Kim Swee jarang menggugurkan 'Apek' daripada kesebelasan utama, yang mana menjadi satu keputusan tepat selepas dia merekodkan lima penampilan tanpa dibolosi.

Bagaimanapun, nasib malang menimpa skuad Sang Badak selepas dia mengalami kecederaan ketika perlawanan terakhir Liga Super ketika berdepan JDT, sekali gus menyisihkannya daripada kempen Piala Malaysia.

WhatsApp Image 2022-11-23 at 18.29.25

Damien Lim mula mempamerkan kemampuannya dalam kempen Piala Malaysia. Facebook/Sabah FC

Kehilangannya menimbulkan kerisauan dalam kalangan penyokong Sabah FC apabila penjaga gawang simpanan, Damien Lim kurang mendapat minit permainan yang dikhuatiri menjejaskan kebolehannya.

Namun, dia bijak menepis tanda tanya itu selepas menampilkan beberapa aksi cemerlang dalam Piala Malaysia, lebih-lebih lagi ketika aksi pertama separuh akhir di Stadium Likas, Sabah ketika berdepan skuad Harimau Selatan.

Prestasi itu mula menimbulkan kegembiraan dengan penyokong mula berharap agar pemain berusia 25 tahun tersebut terus dikekalkan untuk musim depan.

Selain berpendapat dia mampu menjadi pengganti kepada Apek, terdapat juga perkongsian daripada orang ramai yang mengharapkan agar dia mampu menggalas tanggungjawab sebagai penjaga gol utama pada masa depan.

Hal itu dilihat sepertinya didengari pihak pengurusan selepas dia turut dikhabarkan sudah menandatangani kontrak lanjutan bersama pasukan untuk mengembangkan lagi kariernya.

3. Dominic Tan

Musim ini, Sabah FC sering diturunkan dengan meletakkan tiga pertahanan tengah dalam pasukan apabila Kim Swee berpendapat pendekatan itu adalah yang paling sesuai buat pasukan.

Pilihan itu seolah-olah satu kelebihan buat pertahanan muda, Dominic Tan untuk menyerlahkan kemampuannya selepas pulang ke tanah air ketika jendela perpindahan awal tahun lalu.

Malahan, dia dilihat tidak mensia-siakan peluang itu selepas mencipta satu gandingan serasi dengan kapten pasukan, Rawilson Batuil serta Gerald Gadit.

dominictan

Prestasi Dominic Tan mula menarik minat beberapa pasukan Liga Malaysia. Facebook/Sabah FC

Prestasi konsisten itu juga berjaya menaikkan namanya sehingga dipanggil ke dalam skuad Harimau Malaya ketika kempen Piala Raja Thailand pada September lalu.

Namun, kejayaan itu dilihat mula diperhatikan beberapa pasukan Liga Malaysia yang lain apabila sebahagian daripada mereka berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Bagi penyokong Sang Badak, perkara itu semestinya menggusarkan mereka, malahan kehilangannya dianggap sukar untuk dicari ganti dari segi fizikal serta pengalaman.

Bagaimanapun, kerisauan itu dilihat mula terpadam selepas pihak pengurusan Sabah FC difahamkan berjaya 'mengikat' Dominic dengan menawarkan kontrak lanjutan.

Meskipun perkara itu masih berstatus khabar angin, berita tersebut masih dianggap menggembirakan peminat tegar pasukan yang mampu melihat kelibatnya di Stadium Likas musim depan.

4. Rizal Ghazali

Ketika jendela perpindahan lalu, berita mengenai perpindahan legenda Kedah Darul Aman (KDA) FC, Baddrol Bakhtiar ke Sabah FC mengejutkan ramai pihak, terutamanya penyokong kedua-dua pasukan.

Namun, di samping perkhabaran itu, seorang lagi tonggak Sang Kenari, Rizal Ghazali juga mengikut jejak kapten pasukan itu, yang mana ia mengecewakan ramai pihak.

Pertahanan kental itu dibawa masuk Kim Swee selepas dilihat mempunyai kelebihan daripada pelbagai aspek permainan, lebih-lebih lagi daripada sudut pertahanan.

Hal itu turut dipersetujui penyokong Sabah FC selepas menyaksikan dia mudah mengawal gerakan pihak lawan selain mempunyai pengalaman untuk membaca gerakan serangan.

WhatsApp Image 2022-11-23 at 16.35.58

Hantaran Rizal di akaun Instagramnya seakan-akan memberi bayangan bahawa dia akan kekal musim depan. Instagram/rizalghazali15

Tidak cukup dengan itu, hantarannya juga jarang mengecewakan selepas Rizal mempunyai kemahiran untuk melakukannya dengan kemas selain merencanakan serangan buat pasukan.

Baru-baru ini, muncul satu perkhabaran bahawa dia bakal pulang ke Negeri Jelapang Padi selepas pihak pengurusan enggan untuk menyambung kontraknya berdasarkan kepada beberapa faktor, terutama usia.

Tetapi, pemain berusia 30 tahun itu seakan-akan menepis ura-ura itu selepas membuat satu hantaran di laman Instagram peribadinya yang mengesahkan bahawa dia bakal kekal bersama skuad Sang Badak.

Dalam entri terbaharu Rizal pada Rabu, pemain itu turut mengucapkan terima kasih kepada Sabah FC, sekali gus membayangkan bakal mengikut keputusan Dominic, Damien dan Saddil untuk kekal bersama The Rhinos musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram