UCAPAN tahniah membanjiri media sosial selepas kemelut menentukan siapa Perdana Menteri ke-10 akhirnya diputuskan dengan melantik Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ramai yang menyatakan rasa syukur kerana perjuangan Anwar lebih 20 tahun akhirnya tercapai untuk menjadi pemimpin nombor satu negara.
Namun, disebalik ucapan tahniah itu, ramai juga yang berharap supaya Anwar dapat menunaikan segala perancangan yang dijanjikan sebelum ini.
Syahirah Awang berkata, dia bersyukur kerana teka-teki rakyat akhirnya sudah terlerai.
"Boleh tidur lena. Tahniah Anwar. Harapan semoga semua janji-janji manifesto terlaksana dan dapat memajukan negara terutamanya daripada segi ekonomi seperti yang disebut selalu," katanya.
Melly Mellysa pula berkata, kebanyakan rakyat berlapang dada dan menerima keputusan yang telah dibuat.
"Perjuangan Anwar bukan hari ini sahaja, dari 24 tahun lalu. Jadi Anwar kena hargai dan rebut peluang ini untuk bangkit dan buktikan apa yang diperjuangkan sebelum ini.
"Apa yang pasti rakyat akan sentiasa memerhati dan menilai," katanya.
Sementara itu, pemilik pasukan bola sepak Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham turut meninggalkan komen berkaitan lantikan Anwar.
"Impian saya dalah untuk melihat saham syarikat arak jatuh. Kilang arah ditutup di Shah Alam, Selangor. Baik sesiapa pun yang jadi Perdana Menteri, belum nampak usaha untuk haramkan arak dalam negara.
"Semoga satu hari nanti kita dapat Perdana Menteri yg benar-benar berani hapuskan arak. Lagi satu ialah judi," katanya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri-ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.
Keputusan itu diputuskan selepas selesai Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang diadakan di Istana Negara, Kuala Lumpur pada Khamis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram